Search This Blog

Thursday, November 1, 2012

Polis tahan warga emas anggota sindiket curi kenderaan

SHAH ALAM - Polis menahan seorang lelaki warga emas dipercayai anggota sindiket curi dan lerai kenderaan dalam satu serbuan di sebuah gudang yang terletak dalam ladang kelapa sawit di kawasan perindustrian Sungai Siput, Perak semalam.
Polis turut membuat rampasan dianggarkan bernilai RM100,000 dalam serbuan itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata lelaki itu ditahan berikutan laporan satu kejadian curi kenderaan di Rawang pada 29 Okt lepas.
Beliau berkata melalui risikan yang dilakukan, polis mendapat maklumat mengenai gudang itu yang dijadikan pusat operasi untuk meleraikan kenderaan curi sebelum dijual di pasaran gelap.
"Polis menahan lelaki berusia 64 tahun itu yang dipercayai pemilik gudang berkenaan selain merampas sebuah lori jenis Isuzu yang dilaporkan hilang di Rawang," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mohd Adnan berkata turut dirampas sebuah kenderan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza yang dilaporkan hilang pada 2011 di Setapak.
Beliau berkata beberapa komponen kenderaan seperti dua kepala lori, chasis lori serta pintu kenderaan yang telah dipotong dalam bentuk blok juga dirampas dalam serbuan itu.
Menurutnya polis sedang memburu beberapa lagi anggota sindiket terbabit yang masih bebas dan dipercayai bergiat aktif mencuri dan meleraikan kenderaan untuk dijual kepada pelanggan tetap mereka.
Katanya suspek warga emas itu ditahan reman sehingga 4 Nov dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.- Bernama

No comments:

Post a Comment