Polis tahan penjenayah paling dikehendaki
Jalaluddin menunjukkan pistol jenis revolver yang digunakan suspek dalam beberapa kes samun di sekitar Kelantan sejak dua bulan lalu, semalam.
KOTA BHARU- Tindakan licik penjenayah paling dikehendaki yang bersembunyi di dalam sebuah hotel bajet, berjaya dihidu polis dalam satu serbuan yang dilakukan di Jalan Sri Cemerlang di sini kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira jam 4.30 pagi itu, anggota polis turut menahan isteri suspek bersama anaknya berusia lima bulan serta merampas sepucuk revolver, tiga butir peluru, tiga butir kelonsong peluru, empat biji pil bewarna merah dipercayai dadah dan dua straw heroin.
Lelaki yang berusia 25 tahun itu merupakan ahli Geng Zawa, yang ditembak mati di Kampung Kemumin, Machang pada 31 Oktober lalu selepas terlibat dalam  kejadian Samun di Gua Musang di samping menembak dua anggota polis.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, suspek yang berasal dari Pasir Mas itu dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya lima kes samun bersenjata api di negeri ini sejak bulan lalu termasuk di Gua Musang bersama Zawa pada 20 Oktober lalu.

Jalaluddin berkata, selepas beberapa kes yang berlaku polis sudah pun mengenal pasti suspek sebelum mengekorinya dan menyerbu hotel bajet itu pagi semalam.

“Dalam tempoh dua bulan ini suspek terlibat dalam lima kes samun senjata api di mana dua daripada kes berkenaan, suspek telah melepaskan tembakan.
“Lelaki ini juga terlibat dengan ketuanya yang telah ditembak mati dalam kes samun yang menyebabkan anggota polis cedera parah ditembak,” katanya kepada pemberita ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) Jalaluddin berkata, terbaru pada Jumaat lalu, lelaki itu telah merompak sebuah stesen minyak di Jalan Pasir Pekan, dan melarikan wang tunai sebanyak RM2,800, ekoran daripada tindakannya itu, polis  meningkatkan operasi dan menemui kereta jenis Proton Wira yang curinya di hadapan sebuah hotel bajet pada malam kelmarin.
“Biarpun kita telah menemui suspek lebih awal, namun kita terpaksa menunggu sehingga awal pagi untuk menahannya bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini kerana pada ketika itu dia bersama isteri serta anaknya yang masih kecil dalam sebuah bilik di hotel tersebut.
Jalaluddin berkata, selepas menunggu akhirnya dengan perancangan yang rapi, suspek ditahan ketika dia keluar seorang diri dari hotel itu ketika menuju ke kereta.

“Lelaki itu yang sempat masuk ke dalam kereta dan terus menggerakkan keretanya ke hadapan dan belakang bagi mengelakkan dit angkap sehingga menyebabkan polis terpaksa memecahkan cermin kereta dan menariknya keluar serta berlaku pergelutan sebelum ditangkap, dan dalam tangkapan itu kita turut menemui sepucuk pistol di pinggang suspek," katanya.