Search This Blog

Friday, November 9, 2012

Polis tahan dua lelaki selepas gagal lakukan dua samun

ALOR GAJAH - Polis menahan dua lelaki kira-kira sejam selepas mereka gagal melakukan dua samun bersenjata melibatkan seorang pemilik siber kafe dan sekumpulan orang awam di Kelemak di sini, semalam.
   
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata dalam kejadian jam 11.30 malam itu, kedua-dua lelaki berusia 19 dan 25 tahun yang menaiki kereta pada mulanya cuba menyamun seorang pemilik siber kafe namun tidak berjaya.
   
Katanya seorang daripada suspek menghampiri dan mengacu sebilah parang kepada pemilik siber kafe itu ketika lelaki tersebut sedang menutup pintu premis perniagaannya manakala seorang lagi rakan penjenayahnya menunggu di dalam kereta.
   
"Kedua-dua penjenayah tersebut gagal menyamun pemilik siber kafe tersebut apabila dia berjaya melarikan diri," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.
   
Beliau berkata penjenayah yang bersenjatakan parang itu kemudiannya bertindak menghampiri sekumpulan lelaki berusia lingkungan usia 20-an yang berada di hadapan premis siber kafe berkenaan sebelum mengacukan parang kepada mereka.

Katanya bagaimanapun cubaan samun kali kedua itu turut gagal selepas kumpulan lelaki tersebut berjaya menyelamatkan diri sebelum seorang daripadanya membuat laporan polis.
   
Umar Ali Saifuddin berkata hasil operasi mengesan kedua-dua penjenayah itu, mereka akhirnya berjaya ditahan selepas kenderaan yang dinaiki terlibat dalam kemalangan tidak jauh dari lokasi kejadian berkenaan jam 12.30 tengah malam.
   
Beliau berkata kedua-dua penjenayah itu dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol sehingga mengakibatkan kenderaan yang dipandu terbabas.
   
Katanya pemeriksaan polis menemui sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam cubaan samun tersebut. - Bernama

No comments:

Post a Comment