BUKIT MERTAJAM - Polis Pulau Pinang percaya dapat menyelesaikan dalam tempoh terdekat kes pemilik sebuah syarikat pengangkutan yang maut ditetak manakala tangan kirinya yang putus dilarikan dalam kejadian di Jalan Tembikai 1, petang semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah ketika dihubungi berkata polis telah mendapat beberapa petunjuk baru termasuk mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian berkenaan.
Dalam kejadian pada 3 petang semalam, N. Mugesh Edmond, 36, maut ditetak, manakala tangan kirinya yang putus dilarikan sekumpulan lelaki dalam kejadian di Jalan Tembikai 1.
Ketika kejadian, mangsa bersama rakannya, K.Jesigan, 33, berada di dalam kabin syarikat manakala tiga lagi pekerja sedang membaiki treler tidak jauh dari kabin.
Dua kereta jenis Proton Waja dan Proton Wira dinaiki beberapa lelaki dikatakan meluru masuk ke kawasan syarikat sebelum mereka masuk ke kabin dan menyerang Mugesh hingga menyebabkannya cedera parah di leher, bahu dan kaki manakala tangan kirinya putus.   
Jesigan yang turut ditetak dilaporkan dalam keadaan stabil dan kini dirawat di Hospital Gleneagles, George Town.
Suspek dikatakan turut membakar sebuah treler di kawasan itu berdasarkan terdapat bekas kerosin di tempat kejadian.
Sementara itu, adik Mugesh, N.Ashok Charles, 35, ketika ditemui di bilik mayat Hospital Seberang Jaya berkata pada sebelah pagi, mendiang abangnya dan anggota keluarga pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara di Bandar Perda untuk mendaftarkan perkahwinan adik perempuan mereka yang berusia 31 tahun.
Ashok berkata mereka kemudiannya keluar makan bagi meraikan perkahwinan berkenaan dan mangsa menghantar keluarganya pulang selepas itu sebelum ke tempat kerja.
"Ketika dimaklumkan abang diserang, saya baru hendak sampai rumah di Kampung Baru, Bukit Mertajam, tetapi berpatah balik sebaik menerima panggilan daripada seorang pekerja abang yang berada di tempat kejadian.
"Ketika tiba di tempat kejadian, saya lihat abang sudah terbaring dalam keadaan berlumuran darah berhampiran treler dengan kesan tetakan di seluruh badannya.
Pergelangan tangan kirinya juga sudah tiada dan satu daripada kakinya juga hampir putus. Tetapi, dia masih bernafas," katanya.
Katanya dalam keadaan panik, dia segera menelefon rakan-rakan untuk meminta bantuan dan menghantar abangnya itu ke hospital swasta berhampiran, bagaimanapun Mugesh meninggal dunia ketika dalam perjalanan dan disahkan oleh doktor yang melakukan pemeriksaan.
Beliau juga menafikan abangnya, iaitu anak sulung daripada enam beradik, mempunyai musuh kerana Mugesh seorang yang baik, peramah dan mempunyai ramai kawan serta bertanggungjawab.
"Keluarga amat terkejut dengan kejadian ini. Tidak sangka ia akan berlaku kerana abang tidak pernah bermusuhan dengan sesiapa," katanya.
Mayat mendiang dibawa ke rumah keluarganya di Taman Bayu Mutiara, Bukit Tengah, sebelum dibakar di tempat pembakaran mayat Berapit, esok.
- Bernama