Polis cedera ketika serbuan
Saiful menerima kunjungan Tun Hisan (berdiri, kanan) dan Mohd Adnan di Hospital Sungai Buloh.
SUNGAI BULOH – Seorang pegawai kanan polis cedera dalam serbuan menahan dua suspek yang cuba melarikan diri ke atas bumbung di sebuah rumah teres dua tingkat di di Taman Subang Perdana, Kampung Baru Subang, Selasa lalu.

Ketua operasi, Inspektor Saiful Bahari Yunus, 28, dari Pasukan Jenayah Berat (D9) Kontinjen Polis Selangor, patah lengan kiri dan retak tulang pipi selepas terjatuh dari bumbung rumah tersebut.

Saiful Bahari berkata, ketika serbuan kira–kira jam 5.40 petang, dia bersama seorang rakannya mengejar suspek sebelum terjatuh.

“Saya langsung tidak ingat kejadian tersebut dan mungkin tergelincir ketika mengejar suspek.

“Saya pernah mengalami kecederaan ketika bertugas sebelum ini, tetapi hanya cedera ringan,” katanya ketika ditemui media di Hospital Sungai Buloh di sini, semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah antara yang melawatnya semalam.

Saiful Bahari berkata, perkara yang menjadi keutamaannya ketika bertugas adalah menangkap penjenayah dan tidak memikirkan bahaya yang bakal terjadi.

Bapa kepada dua cahaya mata berusia tiga tahun dan dua bulan itu berkata, isterinya yang masih dalam pantang terkejut dengan kejadian menimpanya itu.

Saiful Bahari berkata, dia akan dipindahkan ke Hospital Ipoh untuk menjalani rawatan lanjut.