Ayah dapat petanda pakar IT Azli 'akan pergi'
Jenazah Azli tiba di kampung halamannya, Kampung Pedada Kuning jam 5.30 petang semalam.
Paat Hashim
Paat Hashim
BATU PAHAT – “Sejak akhir-akhir ini, lebih kurang sebulan rasanya saya terlalu kerap nak membersihkan rumah. Pantang nampak ada selerak sedikit pun. Saya dapat rasakan macam ada ramai tetamu yang akan hadir,” kata Paat Hashim, 77, ayah pakar bidang teknologi maklumat (IT), Azli.

Akhirnya, segala persoalan itu terjawab buat Paat apabila Azli, 46, anak ketiga daripada lima beradik, dimaklumkan meninggal dunia, kelmarin.

Jauh di sudut hati, rasa terkilan kerana apa yang dirasakannya selama ini seolah-olah bakal menyambut perayaan. Bagaimanapun, dia reda menerima berita itu.

“Saya sempat bertemu dan bersembang dengannya minggu lalu ketika Allahyarham pulang untuk hadiri majlis perkahwinan saudara terdekat.

“Saya reda dengan pemergiannya kerana dia seorang anak baik dan tidak membantah cakap ibu bapa serta tidak bercakap sesuatu yang tidak senonoh kepada kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Azli yang merupakan pemenang Anugerah Perdana Menteri Best of the Best APICTA 2012 menghembuskan nafas terakhir akibat demam panas di rumahnya di Bukit Segambut, pada jam 7 petang kelmarin.

Allahyarham yang juga pengasas Ada Vista Sdn Bhd meninggalkan seorang balu serta 10 anak.

Sementara itu, adik Allahyarham, Azhar Paat, 43, memberitahu, laporan awal unit autopsi mendapati abangnya meninggal dunia kerana jangkitan kuman pada paru-paru.

Katanya, Azli sebelum ini tidak mempunyai sebarang penyakit atau komplikasi dan kematiannya memberi kejutan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan.

Jenazah Azli yang dibawa pulang dari Hospital Selayang, tiba di kampung halamannya pada jam 5.30 petang semalam, sebelum disembahyangkan di masjid kampung sama yang terletak bersebelahan rumah keluarganya.

Allahyarham kemudian sekali lagi disembahyangkan oleh jemaah wanita termasuk ibunya, Maimunah Abu, 72, di rumahnya sendiri sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pedada Kuning pada jam 6.45 petang.