Search This Blog

Thursday, November 1, 2012

Peragut gadis Afghanistan diberkas



KUALA LUMPUR 31 Okt. - Setelah hilang mata pencarian kerana dibuang kerja oleh sebuah restoran di ibu negara baru-baru ini, seorang lelaki Asia Barat memilih jalan singkat untuk menampung kehidupannya di negara ini dengan menjadi peragut.
Tindakannya itu bagaimanapun menjerat diri apabila dia ditangkap malam tadi selepas meragut beg tangan milik seorang pelancong wanita dari Afghanistan berhampiran pusat beli-belah Pavilion di sini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, mangsa berusia 26 tahun sedang berjalan bersama seorang rakannya apabila diragut dua lelaki di kawasan tumpuan pelancong itu.
Beliau berkata, suspek bersama seorang lagi rakan bertindak menarik beg tangan mangsa dan dalam kejadian itu, mangsa enggan melepaskan beg tersebut sehingga berlaku tarik-menarik.
"Mangsa yang diragut menjerit menyebabkan orang awam yang menyedari kejadian itu membantu mengejar kedua-dua suspek.
"Salah seorang suspek berjaya diberkas dan polis menemukan semula beg tangan mangsa mengandungi dompet, jam tangan dan telefon bimbit," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa mengadakan 'walkabout' di Jalan Petaling di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek berusia 25 tahun berasal dari Asia Barat dan memiliki kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).
Menurutnya, suspek mendakwa terpaksa meragut kerana tiada pekerjaan setelah dibuang kerja.
Katanya, suspek juga mengaku sudah melakukan dua kes ragut, tetapi polis percaya dia pernah melakukan banyak kes sebelum ini.
Dalam perkembangan lain, Zainuddin berkata, dalam program 'walkabout' hari ini, beliau berkesempatan mengadakan pertemuan dan dialog dengan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur bagi mengetahui masalah dihadapi mereka.
"Kita berpuas hati kerana kawasan Jalan Petaling masalah jenayah adalah terkawal.
"Sejak Januari sehingga kini, hanya ada 63 kes jenayah dilaporkan di sekitar kawasan Petaling iaitu kurang satu peratus daripada jumlah keseluruhan kes jenayah di daerah Dang Wang," katanya.
Zainuddin berkata, bagi memastikan keadaan jenayah dapat diatasi di kawasan tersebut, pihaknya bersetuju untuk menambahkan jumlah anggota sukarelawan (PVR) untuk menjalankan rondaan cegah jenayah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121101/je_05/Peragut-gadis-Afghanistan-diberkas#ixzz2AyQ3XIwH
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment