Wani melakonkan semula insiden tarik-menarik dengan penjenayah bagi menyelamatkan beg tangannya.
Wani melakonkan semula insiden tarik-menarik dengan penjenayah bagi menyelamatkan beg tangannya.
JEMPOL - Seorang remaja terpaksa main tarik-tarik dengan penyamun apabila beg tangan yang digantungkan di tepi tingkap ditarik oleh penyamun sekitar jam 5 pagi di Felda Pasoh, dekat sini kelmarin.

Mangsa yang dikenali sebagai Wani, 20, berkata, pada awalnya dia menyangka bunyi di luar tingkap biliknya adalah perbuatan kucing.

Menurutnya, saya kemudiannya bangun dan terus membuka tingkap.

"Alangkah terkejutnya saya apabila mendapati ada tangan sedang menggapai tiga beg tangan yang tergantung di sebelah tingkap.

"Tanpa lengah, saya mencapai dan menarik semua beg berkenaan bagi mengelakkan ia dilarikan penjenayah berkenaan," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Wani berkata, namun tanpa disedarinya salah satu beg tangannya berjaya diambil oleh penjenayah terbabit.

"Saya terus menjerit meminta tolong kerana semua ahli keluarga sedang tidur sebelum penyamun terbabit menghilangkan diri.

"Keadaan ketika itu memang gelap tetapi saya nampak kelibat lelaki yang menarik beg tangan saya itu. Dalam beg itu terdapat dokumen penting seperti dompet, kad pengenalan diri dan beberapa kad bank," kata anak kesembilan daripada 11 beradik ini.

Katanya, dia kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Batu Kikir lebih kurang jam 12. 46 tengah hari pada hari sama.

"Selepas insiden ini saya trauma kerana semuanya berlaku sekelip mata.

"Mujurlah ia tidak melibatkan sebarang kecederaan dan penjenayah ini tidak sempat masuk ke dalam rumah," katanya.