Search This Blog

Friday, November 9, 2012

Penyamun mabuk kecundang


Umar Ali Saifuddin Shaharuddin
Umar Ali (depan) bersama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD), Asisten Superintendan Md Dom Dollah memeriksa kereta dinaiki lelaki terbabit serta parang panjang .
ALOR GAJAH - Cubaan dua lelaki melarikan diri selepas cuba menyamun seorang pengusaha kafe siber di Taman Mewah, Kelemak gagal apabila ditangkap sepasukan polis setelah kereta dinaiki terbabas berdekatan lampu isyarat Kelemak, di sini, tengah malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, kedua-dua lelaki berkenaan yang berusia 19 dan 25 tahun cuba menyamun seorang pengusaha kafe siber menggunakan parang panjang sebelum memecut kereta.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, ketika cubaan samun berlaku, pengusaha kafe berkenaan hendak menutup kedai didatangi dua lelaki berkulit gelap menaiki sebuah kereta Proton Saga Aeroback.
Menurutnya, lelaki berkenaan membawa sebilah parang panjang sebelum sekumpulan lima lelaki yang sedang melepak berdekatan tempat kejadian membantu pengusaha kedai terbabit dari diserang penyamun terbabit.
"Akibat berang dihalang, lelaki terbabit menghayun parang mengakibatkan sekumpulan lelaki berkenaan lari dan seorang daripada lima lelaki tadi dikejar hingga terjatuh.
"Turut sama tercicir ketika dikejar, sebuah telefon bimbit milik mangsa yang kemudiannya diambil oleh penyamun itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), semalam.
Umar berkata, pihaknya menerima laporan sejurus kejadian dan melancarkan gerakan mengesan kedua-dua lelaki terbabit sebelum menerima maklumat kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan.
"Hasil maklumat yang diterima, kedua-dua mereka sudah berada di tebing jalan dibantu orang awam dan penduduk yang tidak mengetahui mereka adalah penjenayah.
"Pemeriksaan awal mendapati bahagian hadapan kereta yang dipercayai milik bapa kepada salah seorang daripadanya remuk teruk dan kedua mereka juga didapati berada di bawah pengaruh alkohol," katanya.
Katanya, kedua-dua penjenayah terbabit walau bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke IPD untuk siasatan lanjut.
"Hasil semakan mendapati mereka turut terlibat dalam beberapa kes samun membabitkan tiga daerah di negeri ini.
“Kedua-dua suspek yang beralamat di Rembia, dekat sini dan Johor ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam). Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun mengguna senjata,” katanya, semalam.

No comments:

Post a Comment