Search This Blog

Monday, November 26, 2012

Penjaga pub maut ditetak 10 lelaki

BATU PAHAT: Rutin harian seorang penjaga pub yang berehat sambil menikmati minuman bersama rakan di depan pub tempat dia bekerja berakhir tragedi, apabila maut ditetak 10 lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di pekan Yong Peng dekat sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 12.30 tengah malam itu, mangsa, warga tempatan dikenali sebagai Pabu, 24, maut selepas ditetak dua kali di kepala, manakala pergelangan tangan kanannya putus dan tangan kirinya hancur ketika duduk berbual bersama tiga rakannya.


Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, ketika kejadian tiba-tiba mangsa didatangi dua kereta Perodua Myvi dan Proton Persona dinaiki lapan hingga 10 lelaki bersenjatakan parang.

Menurutnya, mangsa menyedari kehadiran dua kereta itu cuba melarikan diri, namun dikejar dan dikepung suspek sebelum menyerangnya menggunakan parang.


“Tiga lagi rakan mangsa yang cemas dengan kejadian terus melarikan diri dan tidak dikejar suspek.


“Mangsa yang mengalami pendarahan teruk selain tangan kanannya terputus dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini, untuk mendapatkan rawatan kecemasan namun disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital,” katanya, semalam.

Din berkata, semua suspek berusia 20-an hingga 30-an terus melarikan diri sejurus kejadian dan gerakan mengesan mereka giat dijalankan.


“Hasil siasatan awal kami percayai motif kejadian disebabkan dendam, namun siasatan menyeluruh dijalankan bagi memastikan semua suspek dikenal pasti dan ditahan secepat mungkin.

“Kami percaya serangan ini sudah dirancang kerana suspek mengetahui mangsa bekerja di pub itu serta tahu waktu pub berkenaan tamat,” katanya.


Menurutnya, siasatan mendapati mangsa berasal dari Yong Peng dan sudah berkahwin, namun belum mempunyai anak.


“Kami memohon kerjasama orang awam dan saksi kejadian tampil memberikan maklumat dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di talian 07-4343999 bagi membantu siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment