Search This Blog

Saturday, November 3, 2012

Peniaga nyaris pengsan kain RM1 juta terbakar

IPOH: Seorang ahli perniagaan hampir pengsan apabila kedai tekstil miliknya yang memuatkan kain bermutu tinggi bernilai ratusan ribu ringgit terbakar lewat malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, kedai dua tingkat milik mangsa, Surinderjit Singh, 40-an, di Jalan Sultan Yusuff, di sini, terbakar menyebabkan stok fabrik import, pakaian dan kelengkapan sempena Deepavali musnah membabitkan kerugian hampir RM1 juta. Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang berehat di rumah dan terkejut sebaik dimaklumkan rakan mengenai kebakaran itu sebelum bergegas ke kedai untuk melihat keadaan sebenar. “Sebaik tiba, api marak membakar seluruh kedai dan tiada barangan dalam kedai dapat diselamatkan. “Malah, semua dokumen penting perniagaan dan stok kain ela yang baru tiba dari India hangus,” katanya. Katanya, dia sedih dan tidak tahu apa patut dilakukan berikutan kerugian besar dialami.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd Nasir Arshad berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.51 malam sebelum tiba di lokasi kejadian 10 minit kemudian. Menurutnya, tiga jentera bersama 15 anggota bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, api sudah membakar hampir 85 peratus kedai berkenaan dan berjaya dikawal 10 minit kemudian daripada merebak ke bangunan bersebelahan. “Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment