Search This Blog

Monday, November 26, 2012

Peniaga maut, tiga parah rempuh treler

SABAK BERNAM: Kegagalan memotong sebuah kenderaan di hadapannya menyebabkan seorang peniaga maut manakala tiga lagi rakannya parah selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di kilometer 33 Jalan Klang- Teluk Intan, berhampiran Bagan Nira, di sini, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian jam 12.45 tengah malam itu, rakan mangsa yang memandu kereta berkenaan gagal memotong sebuah lagi kenderaan di hadapannya dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler yang membawa muatan barangan runcit. Akibat pelanggaran itu, treler dalam perjalanan menuju ke Butterworth tidak sempat mengelak dan terbabas memasuki parit di tepi jalan manakala kereta dinaiki mangsa terhenti di laluan bertentangan. Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Noor Mushar Mohammad berkata, mangsa berusia 22 tahun dari Hutan Melintang, Perak yang juga penumpang kereta bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Hospital Sabak Bernam (HSB), di sini jam 2 pagi kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan lain.


Katanya, tiga lagi mangsa berusia 25 tahun yang cedera parah kini sudah dihantar ke sebuah hospital swasta di Ipoh oleh keluarga masing-masing untuk rawatan lanjut.

“Polis terpaksa meminta bantuan daripada pasukan Bomba dan Penyelamat Sabak Bernam untuk mengeluarkan semua mangsa di dalam kereta kerana bahagian depan kereta berkenaan remuk teruk kesan daripada pelanggaran,” katanya.


Menurut Noor Mushar, pemandu treler berusia 43 tahun dan kelindannya berusia 20-an tidak mengalami sebarang kecederaan dan akan dipanggil dalam masa terdekat untuk memberi keterangan.


Katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta untuk menghubungi Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam Sabak Bernam atau mana-mana balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat.

No comments:

Post a Comment