Search This Blog

Friday, November 9, 2012

Pengsan kereta dirempuh


ALOR GAJAH: Seorang wanita pengsan apabila kereta dipandunya dirempuh kenderaan lain ketika membuat pusingan U di Jalan Rantau Panjang-Masjid Tanah di Kampung Rantau Panjang di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang, mangsa, Norliana Suparman, 29, yang memandu Perodua Kancil keluar dari satu lorong lalu membelok ke kanan menuju Ayer Paabas, di sini.

Kereta mangsa tiba-tiba membuat pusingan U mengakibatkan Proton Satria dipandu Shahrizan Alias, 24, dari arah Masjid Tanah gagal mengelak lalu merempuh kenderaan mangsa.
Rempuhan menyebabkan suri rumah itu tersepit dan tidak sedarkan diri, namun tidak mengalami kecederaan serius.

Menurut Shahrizan, dia yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di Masjid Tanah menyedari kereta dipandu mangsa keluar dari lorong kanan jalan berkenaan.

“Sebaik menyedari keadaan itu, saya cuba memperlahankan pemanduan dan berada di belakang kereta berkenaan tanpa memotong.
“Dalam jarak beberapa meter, kereta itu tiba-tiba membuat pusingan U menyebabkan saya gagal mengawal kenderaan lalu merempuhnya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, sebelum itu dia sempat menekan brek, namun jarak terlalu dekat menyebabkannya terpaksa merempuh bahagian tepi kereta yang melintang itu.
“Saya tidak boleh berbuat apa-apa dan cuba memaut stereng ke kiri, tetapi tidak boleh kerana melihat tebing di kawasan itu yang curam. Rempuhan itu menyebabkan dada terhantuk pada stereng. “Sejurus melompat keluar dari kereta dan menghampiri kereta mangsa, saya mendapati wanita itu yang dalam keadaan terperanjat meraung meminta tolong,” katanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, Anuar Thambi Hitam berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan jam 5.38 petang.

“Setibanya di lokasi bersama lima anggota dan sebuah jentera, mangsa didapati tersepit di tempat duduk pemandu dan dapat dikeluarkan dalam tempoh kurang lima minit.

“Mangsa yang tidak sedarkan diri diserahkan kepada anggota paramedik Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) sebelum dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut,” katanya.

No comments:

Post a Comment