Search This Blog

Thursday, November 1, 2012

Pengawal keselamatan ditahan simpan dadah dalam televisyen

KLANG - Polis menahan seorang pengawal keselamatan setelah polis menemui dadah dipercayai heroin seberat 2.2 kg, yang dianggarkan bernilai RM150,000, yang disorok dalam sebuah peti televisyen di kediamannya di apartmen Bayu Perdana di sini, Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop berkata dalam serbuan tersebut, polis menjumpai satu plastik berwarna putih mengandungi empat sampul surat berwarna coklat dililit menggunakan pita pelekat mengandungi dadah yang dipercayai jenis heroin di dalam televisyen itu, yang diletak di atas lantai salah sebuah bilik di unit apartmen tersebut.
Pada masa kejadian suspek yang berumur 52 tahun, yang mempunyai rekod jenayah lampau, sedang bersendirian di rumahnya, manakala isterinya keluar, katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata pengawal keselamatan itu, yang didapati bebas dari sebarang penggunaan dadah, dipercayai menyimpan dadah itu sejak enam bulan lepas.
Suspek kini ditahan reman selama seminggu.
Beliau berkata polis sedang menyiasat seorang lagi suspek dalam kes ini, seorang lelaki warga Nigeria, yang dipercayai membekalkan dadah kepada pengawal keselamatan itu.
Mohamad berkata polis juga menahan seorang penganggur lelaki berumur 34 tahun di hadapan rumahnya di Jalan Labu, Pandamaran, Klang pukul 4.10 petang semalam kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah.
Polis menjumpai satu paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja seberat 3.35 gram di dalam poket seluar suspek, dan dua ketulan mampat tumbuhan kering yang disyaki ganja yang dibalut dengan pita pelekat lutsinar seberat dua kilogram dianggarkan bernilai RM4,800 di sebuah beg dalam sebuah almari di salah sebuah bilik rumah suspek, katanya.
Beliau berkata suspek, seorang penagih, mempunyai dua rekod jenayah lampau sejak tiga tahun lepas, dipercayai memperoleh sumber bekalan dadah daripada seorang lelaki tempatan di Brickfield, Kuala Lumpur.
Suspek kini ditahan reman selama seminggu. - Bernama

No comments:

Post a Comment