Search This Blog

Monday, November 26, 2012

Pengarang letak jawatan kerana siar gambar Kate




         
DUBLIN: Pengarang akhbar Irish Daily Star meletak jawatan berikutan penerbitan kontroversi gambar separuh bogel Duchess of Cambridge, Kate Middleton.

Michael O’Kane digantung tugas pada September sementara siasatan dalaman dilakukan berhubung keputusan tabloid itu untuk menyiarkan gambar Kate dan Putera William berjemur ketika bercuti di Perancis.
Dalam satu kenyataan semalam, akhbar itu berkata: “Penerbitan gambar itu pada 15 September mencetuskan isu dengan pemegang saham Independent Star Limited.

“Setelah menimbang isu itu, O’Kane mengambil keputusan untuk meletak jawatan sebagai pengarang serta-merta.”


Taikun media, Richard Desmond, pemilik kumpulan Northern and Shell yang memiliki akhbar itu bersama-sama Independent News and Media dari Ireland, sebelum ini mengancam untuk menutup operasi di Dublin.


Bagaimanapun, sumber semalam berkata, pemilik saham bekerjasama untuk meningkatkan masa depan akhbar berkenaan yang mempunyai 120 pekerja.

Setakat ini, tidak ada perubahan mengenai usahasama yang dijalinkan sejak 25 tahun lalu selepas perletakan jawatan O'Kane.

Satu sumber lain berkata, perubahan akan dilakukan pada masa depan tetapi persetujuan mengenainya masih belum dicapai.

Sumber lain pula berkata, tidak ada perkembangan mengenai gesaan supaya menutup akhbar itu.

September lalu, Desmond berkata, dia begitu marah terhadap keputusan untuk menyiarkan gambar berkenaan dan mengambil langkah serta-merta bagi mengakhiri usahasama itu.

Independent News dan Media berkata, O'Kane sentiasa bertindak profesional dan bersesuaian untuk kepentingan akhbar itu. - DM

No comments:

Post a Comment