Penganggur curi motosikal
Tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam, atas dakwaan mencuri motosikal.
KUALA TERENGGANU - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas dakwaan mencuri sebuah motosikal jenis Honda Ex-5 di Jalan Pejabat, di sini, dua tahun lalu.

Tertuduh yang ketika kejadian baru berusia 17 tahun, mengaku bersalah atas dakwaan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun serta denda jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh yang beralamat dari Kampung Rhu Muda, Marang, mengaku mencuri sebuah motosikal, milik Mohd Faizal Azlan Jusoh, 27, yang diletakkan di atas kaki lima bangunan Epic Pavilion, Jalan Pejabat, di sini, 19 Ogos 2010, kira-kira jam 10.50 pagi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Rozianti membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu 24 Disember depan sebagai tarikh jatuh hukum.