Pengamal perubatan tradisional mati ditembak
Polis menjalankan siasatan di rumah mangsa.
JOHOR BAHRU - Seorang pengamal perubatan tradisional mati, manakala teman wanitanya mengalami cedera parah selepas kedua-duanya ditembak di rumahnya di Bandar Baru Permas Jaya, di sini, semalam.

Mangsa, Ang Keng, 40, ditemui mati di aras bawah rumah dua tingkat itu, sementara teman wanitanya, Sureen Toh, 30, yang cedera akibat kejadian berkenaan berada di sebuah bilik di tingkat
atas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya segera ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan daripada teman wanita mangsa sekitar jam 5.15 petang.

“Mangsa yang ditemui dengan kesan tembakan pada tubuh dan kepala meninggal dunia di tempat kejadian, manakala teman wanitanya yang cedera dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Forensik masih menjalankan siasatan berhubung kes ini. Polis percaya beberapa das tembakan dilepaskan kepada mangsa dan motif pembunuhan masih dalam siasatan.

“Buat masa ini, polis mendapati tiada kesan rumah ini diceroboh kerana tidak ada kesan pecah masuk pada pintu pagar dan rumah mangsa. Malah barang berharga milik mangsa juga tidak hilang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian, di sini, semalam.

Zainuddin berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan daripada bedah siasat ke atas mangsa selain keterangan daripada jiran bagi membantu siasatan kes itu.

“Polis tidak menolak kemungkinan terdapat lebih daripada seorang suspek terlibat dalam kejadian ini hasil siasatan awal dilakukan. Kita akan menjalankan siasatan dalam semua sudut.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi polis atau hadir ke balai berdekatan untuk membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, polis juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah mangsa bagi membantu siasatan.