Simbah Asid - Al-Hijrah
Muhammad Sazri menunjukkan kesan dipercayai disimbah asid.
KUALA LUMPUR - Penduduk di sebuah Apartment LTAT, Bukit Jalil di sini, gempar apabila lebih 15 buah kenderaan yang diparkir di kawasan itu rosak teruk dipercayai akibat disimbah menggunakan cecair berasid.

Salah seorang mangsa, Eksekutif Stesen Televisyen Al-Hijrah, Muhammad Sazri Abd Sani, 30, berkata, insiden terbaru berlaku pada pada 5 November lalu melibatkan kira-kira 10 buah kereta termasuk Perodua Myvi miliknya.

Menurutnya, kejadian disedari pada jam 10 pagi, setelah mendapati cat pada permukaan pintu kereta terkopek, sebelum membuat laporan polis di balai polis berhampiran. 

"Kejadian ini bukan kejadian pertama yang berlaku di kawasan itu. Difahamkan kejadian sebegini turut berlaku pada bulan Julai di mana enam buah kenderaan rosak teruk akibat dicalar dan disimbah asid, kerugian dianggarkan kira-kira RM10,000," katanya.

 Sazri berkata, individu yang dipercayai melakukan perkara itu menyasarkan kenderaan yang diparkir di bahu jalan berhampiran lif apartment berkenaan.

"Kenderaan yang parkir di bahu jalan itu tidak menghalang laluan, walaupun penduduk sedia maklum bahawa kawasan itu tidak dibenarkan parkir. Kami tiada pilihan kerana parkir di kawasan ini tidak mencukupi," Katanya.

Menurutnya, pengawal keselamatan mendakwa mereka tidak tahu siapa yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu.

Sinar Harian cuba mendapatkan maklum balas daripada pengawal keselamatan di kawasan itu, namun pihaknya enggan memberi kerjasama.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh berkata, polis masih menyiasat kes berkenaan.

"Setakat ini, kami menerima empat laporan polis, punca kejadian dipercayai salah faham melibatkan penduduk di kawasan itu. Kami akan membuat rondaan bersama persatuan penduduk bagi mencegah perkara yang sama berulang," katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 435 dan 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.