Search This Blog

Monday, November 26, 2012

‘Penaklukan’ Awang Hitam

NILAI: Peningkatan mendadak jumlah warga Afrika dari pelbagai negara yang berkampung di beberapa taman perumahan sekitar Mantin dan daerah ini menyebabkan penduduk tempatan khuatir kawasan kediaman mereka menjadi Mini Afrika selain terdedah dengan kegiatan jenayah.
Malah, bagi penduduk, petanda itu sudah terserlah apabila golongan Awang Hitam kini mendominasi kemudahan awam di situ serta tidak gentar dengan penduduk tempatan dan sedia bertindak balas jika ditegur apatah lagi dicabar.

Selain itu, warga Afrika terbabit sering mengusik anak gadis yang lalu-lalang di kawasan itu dan ada kalanya turut mencetuskan pergaduhan dengan warga tempatan.

Penduduk, Hafiz Zaharin, 24, berkata, dia yang tinggal di kawasan berdekatan sudah lali dengan kerenah warga Afrika yang kerap bergaduh hingga mengganggu ketenteraman penduduk.

“Dua bulan lalu, sekumpulan warga Afrika bergaduh, masing-masing membawa senjata hingga kami penduduk takut keluar rumah. “Tidak tahu apa puncanya, tapi tindakan keterlaluan mereka seolah-olah memperlekehkan undang-undang di Malaysia, malah tidak hormat dengan penduduk tempatan,” katanya.

Beliau mendakwa, ada warga Afrika terbabit turut menjadikan sebuah kolej di kawasan itu sebagai markas untuk menjual dadah kepada pelajar. “Saya mengetahuinya apabila melihat rakan sering berbalas SMS dengan seorang warga Afrika untuk mendapatkan ‘barang terlarang’ itu, puas saya menasihatkan rakan, namun tidak diendahkan.


“Ini belum lagi perbuatan mereka mengusik anak gadis yang lalu-lalang di kawasan ini sehingga mendatangkan ketakutan untuk mereka keluar rumah,” katanya. Penduduk lain, Rahim Abdullah, 42, berkata, sikap tamak pemilik rumah yang menyewakan rumah kepada pelajar asing walaupun pihak kolej sudah menyediakan asrama mengundang masalah kepada penduduk di situ.

“Kalau mereka (pemilik rumah) tidak menyewakan kepada warga asing mungkin tiada masalah. Bukan semua warga asing bermasalah, hanya mereka yang berasal dari Afrika.

“Pihak kolej sudah menyediakan asrama, namun disebabkan mahu kebebasan, akibatnya penduduk setempat yang susah,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali sebagai Zul, 33, berharap pihak berkaitan membantu penduduk di sini menyelesaikan permasalahan berkenaan.

“Saya harap isu ini diketengahkan supaya dapat menyedarkan berikutan Malaysia negara Islam dan ada batas yang perlu dijaga atau mereka (warga asing) fahami,” katanya.

Bagi pesara, Zaharin Osman, 58, dia beberapa kali pernah melihat beberapa gadis tempatan bersama Awang Hitam berpelukan seolah-olah tidak segan dengan masyarakat setempat.

“Kadang-kadang wanita kita yang mengada-ngada, bila berdamping dengan warga Afrika itu berjalan mendabik dada sebab kononnya hebat kerana mendampingi golongan itu.

“Saya hairan, malah malu melihat gejala ini makin berleluasa di kalangan masyarakat kita. Bukan cinta yang dicari, tetapi kekayaan yang lebih dikejar. Saya berharap wanita tempatan mengambil iktibar apa yang terjadi dengan mereka yang terperangkap di China dan Brazil sebagai keldai dadah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang berkata, berdasarkan statistik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, jenayah membabitkan warga itu tidak banyak iaitu hampir tiga hingga lima kes saja setahun. “Bagaimanapun, polis sentiasa peka dengan keselamatan dan aduan penduduk berhampiran mengenai kebanjiran warga Afrika di kawasan itu. “Ini berikutan, di daerah ini banyak terdapat kolej swasta yang kebanyakannya dimonopoli warga Afrika. Jadi, kami sentiasa mempertingkatkan keselamatan dengan menghantar unit cegah jenayah setiap masa membuat pemantauan,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan gadis tempatan tertarik dengan tingkah laku warga Afrika ini yang lembut dan lebih bermulut manis berbanding lelaki tempatan.

No comments:

Post a Comment