Search This Blog

Friday, November 9, 2012

Pemandu van mengaku salah cabul murid


KOTA BHARU – Tindakan luar batasan seorang pemandu van sekolah mencabul murid darjah tiga, membawa padah apabila dihukum 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Hukuman diputuskan Majistret Muhamad Hafiz Mohd Noor selepas tertuduh, Mustapha Kamal Ibrahim, 53, mengaku bersalah atas tuduhan itu.
Tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di dalam sebuah van di tepi Jalan Telipot di sini, pada jam 6.30 petang, 5 November lalu.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana seksaan itu.
Berdasarkan fakta kes, pengadu iaitu kakak mangsa mendapati adiknya menangis dan memberitahu pemandu van sekolah yang dinaikinya merabanya.
Pengadu kemudian membuat laporan polis sebelum tertuduh ditahan sehari selepas kejadian.
Terdahulu, Mustapha yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman paling minimum.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan mengambil kira kesalahan serius yang dilakukannya.
“Pengadu memberi kepercayaan kepada tertuduh untuk melindungi mangsa namun dia menyalahgunakannya dengan cara mencabul mangsa.
“Kesalahan yang dilakukan tertuduh turut memberi kesan kepada mangsa yang mengalami trauma selepas kejadian,” katanya.

No comments:

Post a Comment