Search This Blog

Saturday, November 3, 2012

Pemandu lori 19 tahun ditahan reman

ALOR SETAR: Polis mengesahkan menahan reman pemandu lori berusia 19 tahun bagi membantu siasatan kemalangan ngeri mengorbankan empat beranak di Jalan Pendang-Kebun 500 berhampiran Kampung Permatang Limau, di sini, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Rohana Omar berkata, pemandu dari Kubur Panjang, Pendang, direman mulai semalam hingga Isnin.

Menurutnya, pemandu itu ditahan selepas membuat laporan kemalangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, malam kelmarin.

“Kami sudah tahan pemandu itu bagi membantu siasatan dan masih menyiasat sama ada pemandu itu memiliki lesen memandu atau tidak,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, lori itu akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk mengetahui masalah teknikal atau sebaliknya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Ahmad Musadad Sulaiman berkata, orang ramai boleh memperoleh lesen memandu ketika berusia lebih 17 tahun, tetapi bagi lesen memandu kenderaan barang (GDL), ia hanya dikeluarkan kepada mereka yang sudah ada lesen memandu dan berusia lebih 21 tahun.

No comments:

Post a Comment