Normah Abdul Latif
Normah (dua, kiri) kelihatan sugul semasa menatap jenazah suaminya buat kali terakhir, semalam.
BANDAR TUN RAZAK - Seorang isteri tidak menyangka, pelukan beberapa kali oleh suami adalah pelukan terakhir buatnya sebelum terbabit dalam kemalangan di Simpang Charuk Puting Batu 5, Temerloh, tengah hari kelmarin.
Normah Abdul Latif, 48, berkata, seperti bermimpi, dia tidak menyangka itu kali terakhir dia bertemu suaminya, Ramly Osman, 53, yang juga Pengurus Felda Kampung
Awah sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir, tengah malam kelmarin di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh.
“Pagi semalam (kelmarin) ketika saya hendak bertolak untuk mengambil anak di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Kuantan, arwah peluk saya sambil minta maaf.
Malah, apabila enjin kereta dihidupkan, lagi sekali dia datang dan peluk saya.
“Arwah turut memeluk adik (anak bongsu) dan berkata itu kali terakhir dia akan peluk adik sambil memohon maaf,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediaman ibu bapa Allahyarham Ramly di Rantau Perintis, di sini, semalam.
Normah berkata, arwah menunjukkan perubahan sejak sebulan yang lalu apabila dia kerap memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang ditemuinya.
“Selama sebulan ini, setiap kali arwah berjumpa dengan penduduk tanah rancangan, dia akan memohon maaf, selain perwatakannya menjadi lebih baik dari sebelumnya.
“Saya juga dapat tahu daripada orang kampung, arwah sering kata dia risau dengan anak dan isterinya apabila dia sudah tiada nanti,” katanya.
Menurutnya, dia difahamkan kereta dipandu suaminya terlanggar sebuah lori pembancuh simen di bahu jalan ketika dalam perjalanan pulang selepas melakukan urusan bank di bandar Temerloh.
“Saya dapat panggilan telefon memberitahu suami saya terlibat dalam kemalangan jalan raya dan ketika itu saya baru sahaja hendak pulang dari mengambil anak di UIAM.
“Saya terus bergegas ke Hoshas untuk melihat keadaan arwah yang sudah tidak sedarkan diri,” katanya. Normah berkata, dia dimaklumkan doktor, suaminya mengalami pendarahan yang teruk di dalam perut dan perlu menjalani pembedahan.
“Namun disebabkan terdapat komplikasi, arwah meninggal tengah malam tadi (kelmarin) namun kami sekeluarga sempat bersama arwah di saat akhirnya.
“Kami reda dengan pemergian arwah dan menganggap ini sebagai satu ketentuan daripada ALLAH SWT,” katanya.
Dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 12 tengah hari kelmarin, kereta Proton Exora yang dipandu Ramly dari bandar Temerloh ke Felda Kampung Awah dipercayai terbabas lalu melanggar sebuah lori pembancuh simen di Simpang Charuk Puting Batu 5, Jalan Maran, Temerloh.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badan dibawa ke Hoshas Temerloh untuk rawatan lanjut, namun meninggal dunia pada jam 12 tengah malam kelmarin.
Jenazah dikebumikan di Rantau Perintis pagi semalam dan mangsa meninggalkan seorang isteri serta tiga anak.