'Pelamin anganku musnah'
Mohd Paisal dikenakan penjara 12 bulan dan denda RM3,000 selepas mengaku bersalah mencuri besi stagging dan dua pam air bernilai RM25,000 milik jirannya.
KUALA TERENGGANU - Seorang buruh terpaksa melupakan hasratnya untuk melangsungkan perkahwinan dengan gadis pilihannya yang dijangka akan berlangsung pada April tahun depan, apabila dia dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, kelmarin.

Bukan itu sahaja, Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi turut mengarahkan tertuduh, Mohd Paisal Ismail, 32, dari Kampung Nibong Panji Alam, dipenjarakan tiga bulan lagi jika gagal menjelaskan jumlah denda berkenaan.

Hukuman itu dijatuhkan selepas Mohd Paisal mengaku mencuri satu tapak besi stagging dan dua pam air bernilai RM25,000 milik jirannya, Heshaful Bahri Muhammad, 41, di sebuah stor di Jalan Panji Alam, Kampung Nibong, di sini.

Dia mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri itu pada 31 Oktober lalu kira-kira jam 7.40 malam.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Faizal Ahmad Tajudin manakala Mohd Paisal yang juga positif morfin itu tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Mohd Paisal dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman terhadapnya atas alasan sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang, selain mendakwa perlu menjaga ibunya yang sudah tua serta mendakwa akan berkahwin April depan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang bekerja sebagai kontraktor berada di kediamannya kira-kira jam 7.40 malam, 31 Oktober lalu sebelum terdengar bunyi bising dari arah stor miliknya lalu membuat pemeriksaan.

Ketika itu, mangsa ternampak tiga hingga empat orang termasuk Mohd Paisal yang juga anak jirannya sebelum cuba menahan mereka, bagaimanapun apabila memikirkan Mohd Paisal adalah anak jirannya, dia melepaskannya kerana tidak sampai hati.

Namun, pada 6 November lalu, ibu Mohd Paisal datang secara sukarela menyerahkan anaknya itu kepada mangsa dan meminta mangsa membuat laporan polis.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu dan Mohd Paisal ditahan di kediamannya kira-kira jam 2.30 pagi, 18 November lalu.