Pelajar maut motosikal dirempuh kereta
Keadaan motosikal yang terbabit selepas kemalangan itu.
Pelajar maut motosikal dirempuh kereta
Motosikal dinaiki dua beradik itu dirempuh kereta Toyota Vios yang dipercayai hilang kawalan.
BERA - Hajat seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkarak untuk menikmati minuman sejuk tidak kesampaian apabila motosikal ditungganginya dirempuh dan diseret sebuah kereta Toyota Vios sejauh 10 meter.
Mangsa, Nur Syadna Syuhada Azmi, 13, meninggal dunia di tempat kejadian berikutan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, sementara adiknya, Mohd Syafiq, 9, pula patah kedua-dua kaki.

Ibu mangsa, Norehan Hussin, 41, berkata, anak sulungnya itu ke kedai berdekatan untuk membeli ais kerana terlalu kepingin minum minuman sejuk, sedangkan hujan pada waktu itu.

Menurutnya, walaupun kehendak anaknya itu dihalang, namun arwah tetap mahu membeli ais dengan alasan terlalu haus.

“Saya tidak mengesyaki apa-apa dan tidak pula menghalangnya beria-ia. Sebaliknya, saya meminta dia menunggang motosikal dengan berhati-hati.

“Tidak lama kemudian, saya terima panggilan daripada suami memberitahu ada di klinik bersama arwah. Tetapi hanya diberitahu arwah jatuh daripada motosikal,” katanya.

Norehan berkata, dia tidak menyangka permintaan itu adalah permintaan terakhir anaknya dan reda dengan kejadian tersebut.

Menurutnya, anak keduanya yang juga OKU serta menghidap penyakit jantung, kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh dan dijaga suaminya, Azmi Kamar, 39.
“Kalau boleh saya mahu menjaga Mohd Syafiq, tetapi anak bongsu masih kecil dan tidak boleh ditinggalkan,” katanya.

Nenek terkejut cucu maut

SEMENTARA itu, nenek mangsa, Mek Hawa Senik, 72, berkata, semasa dimaklumkan cucunya maut, dia sangat terkejut kerana tidak menyangka arwah akan meninggal dunia dengan cara sedemikian.

Katanya, arwah bukan sahaja anak sulung, malahan cucu sulung di mana harapan keluarga sememangnya diletakkan di bahunya.
Menurutnya, dia sangat rapat dengan arwah kerana sejak kecil tinggal bersama sehingga Norehan dan Azmi menerima bantuan Rumah Mesra Rakyat berdekatan rumahnya.

“Sejak dua tahun lalu, dia masih tidur bersama saya walaupun ikut berpindah bersama ibunya, sebab saya tinggal seorang di rumah.

“Malah apabila saya lihat jenazah, dia macam sedang tidur,” katanya.
Mangsa dirempuh, diseret ke pokok

BERDASARKAN siasatan awal, kereta Toyota Vios dipandu wanita berusia 53 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh motosikal dinaiki dua beradik tersebut.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Zakaria Yusof berkata, kejadian itu berlaku pada jam 4.45 petang kelmarin di Kilometer 24 Jalan Temerloh - Bahau.
Menurutnya, motosikal itu bukan sahaja dirempuh, malahan turut diseret sehingga 10 meter sebelum merempuh sebatang pokok.
“Pemandu terbabit dipercayai memandu laju berikutan keadaan mangsa dan motosikal  total loss (langsung tidak boleh digunakan lagi).
“Nur Syadna Syuhada meninggal dunia di tempat kejadian, manakala adiknya cedera parah,” katanya.
Zakaria berkata, punca kejadian masih disiasat dan orang ramai  ada maklumat berkaitan diminta tampil memberi keterangan.