Pelajar dicekup bersama dadah
Antara barangan yang dirampas ketika serbuan dibuat di rumah dihuni sekumpulan pelajar di Serdang Perdana, pagi semalam.
SERDANG – Tidak sepadan dengan status mereka sebagai pelajar, empat warga Sudan dicekup bersama sejumlah bekalan dadah di rumah yang dihuni mereka di Serdang Perdana di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 6 pagi, sepasukan anggota Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang diketuai Inspektor S Prem yang menerima maklumat menyerbu rumah dihuni pelajar itu.

Pemeriksaan mendapati, kesemua penghuni dalam rumah yang juga penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di Kuala Lumpur itu bagaimanapun enggan mengaku di mana bekalan dadah diperoleh sebelum dicekup.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, pemeriksaan di ruang tamu menemukan polis dengan satu bungkusan kertas timah di atas lantai.

Beliau berkata, di dalamnya terdapat bahan disyaki dadah jenis heroin seberat 20 gram yang dibungkus rapi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut yang dilakukan menemukan polis dengan satu bungkusan plastik berwarna merah di dalam peti sejuk.

Abd Razak berkata, terdapat serbuk dan ketulan berwarna putih disyaki dadah jenis heroin seberat 26 gram dalam plastik berkenaan.

“Kesemua suspek berusia 21 hingga 25 tahun itu didapati mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan merupakan warganegara Sudan.

“Ujian awal saringan air kencing mendapati keempat-empatnya positif dadah. Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama,” katanya.

Beliau berkata, siasatan menyeluruh masih dijalankan berhubung kes itu.