Pekerja pub mati ditetak
Lokasi mangsa ditetak.
BATU PAHAT - Seorang lelaki mati ditetak selepas dipercayai diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang ketika dia sedang berbual di hadapan sebuah pub di Yong Peng, di sini, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian pada jam 12.30 pagi itu, mangsa berkenaan diserang ketika dia sedang berbual bersama tiga rakannya.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, ketika kejadian, mangsa didatangi kira-kira lapan hingga 10 lelaki bersenjatakan parang yang menaiki dua kereta. Menurutnya, mangsa yang menyedari
kehadiran kumpulan terbabit cuba melarikan diri, namun berjaya dikejar suspek lalu menyerang mangsa.
“Tiga lagi rakan mangsa yang cemas dengan kejadian itu bertindak melarikan diri, namun tidak dikejar kumpulan suspek berkenaan.
“Mangsa yang mengalami pendarahan teruk selain tangan kanannya yang terputus dikejarkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), namun disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Din berkata, kesemua suspek terbabit yang berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu melarikan diri sejurus selepas kejadian.
“Hasil siasatan awal, kami percayai motif kejadian adalah disebabkan dendam, namun siasatan menyeluruh akan terus dijalankan bagi memastikan kesemua suspek dapat dikenal pasti dan ditahan secepat mungkin.
“Kami juga percaya serangan ini sudah dirancang disebabkan suspek mengetahui mangsa sememangnya bekerja di pub terbabit dan ketika kejadian, pub terbabit hampir tamat waktu beroperasi,” katanya.
Katanya, siasatan juga mendapati mangsa berasal dari Yong Peng dan sudah berkahwin serta masih tidak mempunyai anak.
“Kami memohon kerjasama daripada orang awam dan saksi kejadian yang mempunyai maklumat untuk tampil menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di talian 07-4343999 bagi membantu siasatan.
“Selain itu, orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian yang dapat mengganggu siasatan dijalankan,” katanya.