Zamri Shamsuddin
Zamri Shamsuddin
KUALA TERENGGANU - Jenayah pecah bangunan melibatkan pejabat dan agensi kerajaan semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Kelmarin, bilik mesyuarat utama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) yang terletak di tingkat 2, Kompleks Sri Iman, Jalan Sultan Muhamad telah dipecah masuk.

Kejadian disedari kira-kira jam 10.30 pagi oleh seorang pembantu tadbir di situ, sebelum memaklumkan kepada Penolong Setiausahanya yang ketika itu sedang berada di pejabatnya di tingkat 1, bangunan berkenaan.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek telah pecah masuk ke dalam pejabat tersebut melalui tingkap kerana terdapat kesan umpil.

“Pemeriksaan seterusnya mendapati sebuah televisyen LCD, satu alat projektor dan wang tunai bernilai kira-kira RM200 milik kakitangan lesap.

“Bagaimanapun, terdapat banyak lagi barang lain dipercayai hilang namun sehingga kini masih tidak dikenal pasti,” katanya, semalam.

Katanya, selepas yakin bilik mesyuarat itu dipecah masuk, pihak Maidam telah membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu sejam kemudian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang kemudahan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bangunan itu walaupun mempunyai pengawal keselamatan.

“Siasatan mendapati tahap keselamatan masih longgar kerana walaupun sudah ada pengawal keselamatan, pihak berkenaan sewajarnya menyediakan kemudahan CCTV terutama di tempat lebih strategik,” katanya.
Dalam masa sama, Zamri turut menasihatkan pihak pengurusan premis kerajaan menekankan aspek keselamatan termasuk penambahan anggota pengawal keselamatan; memberikan latihan keselamatan yang lengkap kepada pengawal keselamatan dilantik dan juga menambah bilangan kemudahan CCTV terutama di lokasi strategik.