Search This Blog

Wednesday, November 7, 2012

Panik lihat bos maut ditembak




         
JOHOR BAHRU: “Saya mencuci kusyen kereta di belakang kedai sebelum terdengar bunyi letupan kuat.

“Saya terus ke bahagian depan kedai dan mendapati ‘bos’ tersandar di kerusi di kaunter bayaran dengan kesan tembakan di kepala dan dada,” kata Barath, 30, di sini, semalam.


Majikan Barath, N Sundar, 36, mati ditembak dari jarak dekat pada jam 12.45 tengah hari semalam oleh dua lelaki yang membonceng motosikal Yamaha LC ketika berada di kedainya di Jalan Baiduri 1/2, Taman Baiduri.

Barath kemudiannya membawa Sundar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru, namun mangsa disahkan mati akibat kecederaan di kepala dan badan.


Menurut Barath, dia tidak tahu apa perlu dilakukan apabila mendapati majikannya tersandar pada kerusi dengan kesan tembakan.


“Pada masa sama, saya melihat seorang lelaki yang memakai topi keledar berpenutup penuh berlari ke arah rakannya yang menunggu di atas Yamaha LC berkenaan sebelum memecut.

“Dengan bantuan rakan, kami mengangkat majikan ke dalam kereta sebelum membawanya ke HSA dengan harapan dia masih dapat diselamatkan,” katanya. Sementara itu, isteri mangsa yang enggan dikenali berkata, kali terakhir dia bersua dengan suaminya ketika Sundar pulang ke rumah di Bukit Indah untuk menghantar anak sulung mereka berusia lima tahun, pagi semalam.


“Setiap hari suami keluar pada jam 8.30 pagi untuk menghantar anak perempuan kami ke Taman Didikan Kanak-kanak (Tadika) sebelum ke tempat kerja dan pulang pada jam 11 pagi. “Selepas menghantar anak ke rumah, suami ke kedai mencuci kenderaan yang diusahakannya sejak 15 tahun lalu.

“Saya terkejut dengan kejadian kerana suami tidak pernah mengadu dia berdepan masalah atau mempunyai musuh dalam perniagaan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSA.


Menurut wanita berusia 30-an itu, selepas berkahwin enam tahun lalu, suaminya menghabiskan sebahagian besar masa untuk mereka sekeluarga.


Katanya, mereka baru dikurniakan anak perempuan berusia lapan bulan dan jika tidak ke tempat kerja, suaminya berada di rumah untuk bermain dengan bayi berkenaan.

No comments:

Post a Comment