Search This Blog

Friday, November 23, 2012

‘Panik abang tiada tangan’

SEBERANG JAYA: “Saya panik melihat abang berlumuran darah dan tangan kirinya sudah terputus,” kata Ashok Charles, 35, adik kepada N Mugesh Edmond, 36, yang maut ditetak dalam kejadian di Lorong Tembikai 1, di sini, kelmarin.

Ashok berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah di Juru, dekat sini, dan dihubungi seorang mekanik yang bekerja di stor simpanan kenderaan milik abangnya itu sebelum bergegas ke tempat kejadian.


Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, abangnya sudah terbaring berlumuran darah, tetapi masih bernyawa sebelum meminta bantuan rakan membawa abangnya ke hospital swasta berhampiran.

“Sebaik tiba di stor, saya lihat abang terbaring berlumuran darah dengan kecederaan di seluruh anggota badan,” katanya ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Seberang Jaya, di sini semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa anak sulung daripada enam beradik yang juga pemilik stor simpanan kenderaan maut ditetak menggunakan parang oleh sekumpulan penjenayah.


Penyerang dipercayai melarikan tangan kiri mangsa yang putus ditetak dalam serangan bermotifkan dendam itu.

Ashok berkata, dia tidak dapat menerima kenyataan itu apatah lagi kejadian berlaku selepas mereka sekeluarga meraikan pendaftaran perkahwinan adik perempuan mereka.


“Pagi hari kejadian, kami sekeluarga ke Pejabat Pendaftaran untuk mendaftar perkahwinan adik perempuan kami dan mendiang kelihatan sangat gembira,” katanya.

Katanya, abangnya seorang yang baik dan mudah mesra serta yakin dia tidak mempunyai musuh.


Dalam pada itu, suasana sedih menyelubungi pekarangan bilik mayat apabila bekas kekasih mangsa yang datang gagal menahan emosi dan meraung meratapi kematian lelaki itu.


Sementara itu, adik seorang lagi mangsa, K Jeysigan, 33, yang turut ditetak dalam kejadian itu, berkata abangnya cedera di tangan kanan dan kiri serta kaki kiri.


J Baran, 25, berkata abangnya sudah menjalani pembedahan enam jam dan keadaannya dilaporkan stabil.


“Abang bernasib baik kerana dia bersembunyi di bawah meja, jika tak saya tak tahu nasib abang. Begitupun, kami sedih dengan kejadian ini terutama selepas mendapat tahu rakan abang maut dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui di sebuah hospital swasta di bahagian pulau, semalam.


Baran berkata, dia percaya abangnya itu tidak mempunyai musuh kerana dia sentiasa bersikap baik dengan semua orang.


Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner, Mazlan Kesah ketika dihubungi berkata, sehingga jam 4 petang semalam, tangan kiri mangsa masih belum ditemui dan beberapa suspek sudah dikenal pasti.

No comments:

Post a Comment