Nelayan gelisah alatan menangkap ikan sering dicuri
Sebahagian nelayan menunjukkan stor yang dibina menggunakan modal sendiri.
KERIAN - Golongan nelayan di Kampung Sungai baru, di sini, menggesa pihak berkenaan menyegerakan pembinaan stor dan jeti pendaratan ikan bagi mengelak berlakunya kes kecurian peralatan menangkap ikan yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Wakil nelayan, Zulkifli Awang, 33, berkata, hampir kesemua nelayan merungut dengan kejadian kecurian di kawasan itu disebabkan ketiadaan stor penyimpanan barang dan pelantar ikan untuk memudahkan urusan mereka.

Menurutnya, pihaknya pernah mengemukakan lebih dua kali permohonan kepada Persatuan Nelayan Kerian (PNK) dan dimaklumkan ianya diluluskan.

“Bagaimanapun, hingga kini tiada tindakan susulan dilakukan pihak terlibat sedangkan kami memerlukan stor dan pelantar ikan.
“Buat masa sekarang, kami terpaksa mengeluarkan modal sendiri sebanyak RM4,000 untuk membina stor sementara bagi mengelakkan peralatan menangkap ikan dicuri,” katanya sewaktu ditemui media, semalam.
Kata Zulkifli, di dalam stor itu, hanya barangan kecil seperti bubu dan pukat sahaja boleh disimpan kerana ruang terlalu kecil.

Bagi nelayan, Mat Ramzi Hamid, 42, berkata, nelayan di sini mula gelisah memikirkan keselamatan barangan mereka pada waktu malam memandangkan kawasan stor sementara itu gelap.

Jelasnya, mereka terpaksa menyambung bekalan elektrik dari rumah penduduk berdekatan bagi tujuan pencahayaan untuk mengurangkan kes kecurian.

“Bukan itu sahaja, kami turut membuat jadual penggiliran untuk mengawal stor setiap malam,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kerian (PNK), Abdul Halim Kamis berkata, pihaknya sedia maklum dengan perkara tersebut.
Katanya, beliau mengakui ada menerima permohonan itu, namun perkara ini masih dalam perbincangan kerana kawasan itu tidak strategik untuk dibina jeti kerana berhampiran pintu air.

"Permohonan sudah diluluskan, tetapi terpaksa ditangguhkan bagi mengkaji semula perkara itu dan kami sedang mempertimbangkan lokasi terbaik untuk membina jeti tersebut,”katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Parit Buntar, Mohd Salleh Mat Disa yang juga merupakan Penyelaras DUN Kuala Kurau memberi jaminan akan cuba mendapatkan  permohonan lampu bagi stor sementara itu.