Search This Blog

Friday, November 23, 2012

Nahas disyaki akibat kecuaian pemandu

KUANTAN: Kecuaian pemandu treler dipercayai antara faktor utama kemalangan maut yang menyebabkan empat pekerja syarikat Projek Penyelenggara Lebuhraya Berhad (Propel), maut manakala empat lagi parah dirempuh sebuah treler ketika sedang bekerja di Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran susur keluar Gopeng, Perak, kelmarin.

Pengurus Besar Jabatan Keselamatan Trafik Plus Malaysia Berhad (Plus), Zakaria Shaffie, berkata berdasarkan siasatan awal Plus juga mendapati semua pekerja mematuhi segala prosedur ditetapkan Plus termasuk meletakkan kon keselamatan ketika melakukan kerja penyelenggaraan.


“Dalam kes kemalangan ini, kami dapati faktor pemandu treler punca berlakunya kemalangan kerana segala aspek keselamatan sudah dilakukan semua pekerja terbabit.

“Bagaimanapun, kami menyerahkan segala siasatan kemalangan kepada pihak berkuasa (polis) bagi mengenalpasti punca kemalangan yang mengorbankan empat orang manakala empat lagi parah,” katanya semalam.


Zakaria berkata demikian pada sidang media ketika diminta mengulas kemalangan maut menyebabkan empat pekerja Propel terbunuh manakala empat lagi parah di Gopeng.


Nahas ngeri jam 4.30 pagi itu berlaku ketika mereka sedang menyambung kabel optik di lorong kecemasan di Kilometer 294.1 arah utara.

Dalam kejadian itu ada mangsa tercampak ke dalam longkang dan terperosok di bawah treler.


Mereka yang terbunuh adalah Ismady Mohd Rodzi, 32; Mohd Hafez Yunos, 39; Shaharuddin Abd Aziz, 51, dan Mohd Shafie Ismail, 56.

Mangsa yang parah, pekerja Propel, Shafudin Abdul Jalil, 31, dan Dino Azmi, 36; dua pekerja TimedotCom, Azhan Ismail, 44, dan Mahyuddin Idris, 48. Pemandu treler, Zulkifli Mohd Noor, 41, dari Langkawi dan kelindannya, Mohd Rozi Mat Sharif, 44, juga cedera parah.


Dalam perkembangan berkaitan, Zakaria menasihati semua pemandu terutama kenderaan berat supaya memandu secara berhemah dan fokus terhadap pemanduan terutama ketika waktu malam dan awal pagi.


Menurutnya, pemandu seharusnya mementingkan tahap keupayaan diri dan jika berasa penat, mereka perlu berehat sebelum kembali memulakan pemanduan.


“Bagi manusia normal, kita hanya mampu memandu tidak lebih dari dua jam dan perlu berehat,” katanya.

No comments:

Post a Comment