Search This Blog

Wednesday, November 7, 2012

Muhdalena hidap kemurungan psikotik - Pakar


PUTRAJAYA 6 Nov. - Mahkamah Sesyen di sini diberitahu, Muhdalena Ahmad (gambar) yang didakwa melakukan ugutan jenayah dalam kejadian amuk di Jabatan Perdana Menteri (JPM), menghidap gejala penyakit mental iaitu kemurungan psikotik.
Penyakit tersebut menjadikan wanita berusia 28 tahun itu tidak waras dan tidak sedar terhadap kesan perbuatannya pada masa kejadian yang didakwa berlaku pada Julai lalu.
Bagaimanapun, Muhdalena kini didapati stabil untuk dibicarakan di mahkamah dan membela diri terhadap semua tuduhan yang dihadapinya.
Demikian status laporan yang dikeluarkan oleh Dr. Rabaiah Mohd. Salleh yang merupakan Pengarah dan Pakar Perunding Forensik, Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta, Perak.
Laporan pemeriksaan yang dikeluarkan semalam turut menyatakan, Muhdalena masih mengambil ubat anti kemurungan, T. Setraline 100 miligram setiap malam sehingga penyakitnya pulih.
Laporan tersebut yang diterima oleh pihak pendakwaan dan pembelaan hari ini diserahkan kepada Hakim Mohd. Kamil Nizam ketika sebutan kes.
Mahkamah yang berpuas hati dengan kandungan laporan tersebut serta tahap kewarasan mental Muhdalena menetapkan perbicaraan didengar selama tiga hari bermula 7 Januari tahun depan.
Timbalan Pendakwa Raya, Kalmizah Salleh hadir bagi pihak pendakwaan manakala peguam M. Visvanathan mewakili tertuduh.
Visvanathan ketika ditemui pemberita menyatakan, pihaknya mungkin mengemukakan laporan itu sebagai satu pembelaan agar Muhdalena dirawat di Hospital Bahagia mengikut Seksyen 348 Kanun Tatacara Jenayah.
Menurut peguam bela, permohonan itu bagi membolehkan anak guamnya dirawat untuk satu tempoh tertentu selama mana yang diperkenan oleh Sultan.
Pada 11 Oktober lalu, mahkamah memerintahkan Muhdalena dirujuk kepada pakar psikiatri selama sebulan berikutan laporan perubatan oleh Pakar Psikiatri dari Hospital Putrajaya, Dr. Umi Adzlin Silim bahawa tertuduh masih mengalami gejala kemurungan manakala gejala psikotik iaitu tahap halusinasinya semakin terkawal.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121107/je_04/Muhdalena-hidap-kemurungan-psikotik---Pakar#ixzz2BbHTOIHu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment