Mohammad Azlan Jawawi
Salah seorang wanita warga asing yang ditangkap ketika sedang menyorok bawah katil papan buatan sendiri.
AYER KEROH - Bagi mengelak ditangkap pihak berkuasa, dua wanita warga asing sanggup menyorok bawah lantai dan katil papan buatan sendiri di dalam sebuah rumah kongsi di Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Alor Gajah di sini, awal pagi semalam.
Kedua-dua wanita yang berusia 20 dan 25 tahun itu bagaimanapun berjaya ditangkap selepas penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri tergerak hati untuk menyelak papan lantai dan katil lalu terlihat rambut mdan kaki milik seseorang ketika serbuan dilakukan kirakira jam 1.30 pagi.\
Menurut Timbalan Pengarah JIM negeri, Mohammad Azlan Jawawi, seramai 13 pegawainya yang mahu beredar selepas selesai memeriksa 15 lelaki warga Indonesia mempunyai dokumen perjalanan yang sah sempat menyelak dan mengangkat papan berkenaan sebelum menemui dua wanita itu di dua tempat berasingan,
“Hasil pemeriksaan terhadap mereka yang mendakwa sebagai isteri kepada dua lelaki yang tinggal di rumah kongsi berkenaan mendapati mereka tiada sebarang dokumen perjalanan,” katanya.\
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, semalam.
Mohammad Azlan berkata, dua wanita terbabit antara 15 yang ditahan selepas melakukan pemeriksaan terhadap 60 warga asing dalam operasi di sekitar negeri ini.
Menurutnya, operasi selama lebih lima jam berakhir jam 3.30 pagi semalam itu dijalankan di Batu Berendam, Sungai Udang dan Masjid Tanah, Alor Gajah membabitkan pemeriksaan di premis, rumah dan pusat hiburan.
Beliau berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 12(1) Akta Pasport 1966 (Akta 150) kerana miliki dokumen yang dipalsukan.