Mayat terlentang bawah pokok
Anggota polis menutup mayat Hamdan sebelum dibawa ke HTAN. Gambar kecil Zainab
KUALA PILAH – Misteri kehilangan seorang duda dua anak akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemui di bawah pokok buah di halaman rumahnya, pagi semalam.

Mayat Hamdan Yeop Hamza, 48, dijumpai dalam keadaan terlentang dan bahagian kepala reput manakala anggota badan kembung.

Jiran berhampiran, Zainab Dahan, 80, berkata, kebiasaannya, dia sering melihat Hamdan menyapu sampah di halaman rumahnya namun, dalam tempoh seminggu lalu kelibat jirannya itu tidak kelihatan.

“Arwah tinggal seorang diri sahaja di rumah ini, setelah ibunya meninggal dunia dua tahun lalu. Setiap hari arwah akan pergi ke kedai minum di simpang masuk rumahnya. Arwah akan habiskan masanya di situ.

“Dalam tempoh seminggu itu, bila malam, tingkap rumahnya terbuka sahaja meskipun waktu hujan. Hati makcik memang sudah terdetik dan bimbang,” katanya ditemui di lokasi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Gating, Mohd Nor Abd Ghani, 67, berkata, pemilik kedai minum yang dikenali sebagai Mayon pergi ke rumah Hamdan kerana bimbang keselamatannya.

“Mayon risau keadaan arwah kerana  jarang dilihat di kedainya. Mayon  ke rumah arwah dan melihat rumah tiada orang. Keadaan rumah juga tidak berselerak namun, terhidu bau busuk.

“Kemudian Mayon memberitahu ahli JKKK untuk sama-sama mencari arwah di sekeliling rumah. Bila terhidu bau busuk yang kuat dari arah pokok buah mata kucing, akhirnya mereka menemui mayat lelaki hanya memakai seluar pendek berwarna merah, " katanya.

Menurutnya,  selepas menerima panggilan berhubung penemuan itu, beliau ke rumah arwah lebih kurang jam 10 pagi bersama JKKK bagi mengenal pasti mayat Hamdan dan terus menghubungi pihak polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Azmi Abdul Rahim, berkata, mayat lelaki dipercayai hampir reput 10 peratus di bahagian kepala, ditemui penduduk kampung lebih kurang jam 10 pagi.

“Melihat keadaan mayat tersebut menunjukkan lelaki itu mati dalam tempoh seminggu. Difahamkan arwah mempunyai masalah mental dan tinggal seorang diri di sini.

“Arwah seorang duda dan mempunyai dua anak yang tinggal di Kuala Lumpur. Berdasarkan kepada maklumat, tiada perbuatan jenayah setakat ini dan mayat akan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk bedah siasat. Punca kematian masih dalam siasatan,” katanya.