Mayat berulat - bas
Anggota forensik sedang menyiasat di lokasi kejadian.
KAJANG - Seorang pengawal keselamatan terkejut apabila menemui mayat wanita dalam keadaan kembung dan berulat di dalam sebuah bas yang tidak digunakan di dalam kawasan kompaun Menara Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ, pagi ini.

Kejadian disedari jam 10.30 pagi oleh pengawal keselamatan, Santra Morgan yang kemudian menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, pada Khamis lalu salah seorang mekanik MPKJ mengadu terlihat seseorang sedang tidur dalam bas berkenaan ketika ditugaskan memeriksa nombor chasis.

"Mangsa berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an itu ditemui dalam keadaan terbaring, lengkap berpakaian seluar pendek ketat berwarna hitam dan tshirt berwarna merah," katanya.

Menurutnya, turut ditemui tuala dan pisau pendek, namun  dokumen pengenalan diri gagal ditemui.

"Mangsa dipercayai mati lebih empat hari, motif dan punca kematian masih disiasat. Siasatan turut menjurus kepada jenayah atau sebaliknya," katanya.

Mayat dibawa ke hospital Serdang untuk dibedah siasat.