Search This Blog

Friday, November 23, 2012

Maut nahas enam superbike



Subang Jaya: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi yang berkonvoi bersama isteri dan 15 lagi rakan terbunuh, manakala dua lagi parah selepas kenderaan mereka terbabit dalam kemalangan di Kilometer 13.6 Lebuhraya NKVE, pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi berhampiran susur masuk ke Subang dari arah Shah Alam, ketika mangsa, Ishak Jaafar, 53, yang juga seorang peneroka berkonvoi bersama 12 lagi motosikal berkuasa tinggi lain dalam perjalanan dari Kota Tinggi, Johor, menuju ke utara tanah air.

Mangsa bersama isterinya dikatakan menunggang motosikal Honda Goldwing.

Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Zulkifli Junit, berkata siasatan awal mendapati dua motosikal dari konvoi itu yang berada di lorong kanan dilaporkan cuba mengelak sebuah kereta jenis Honda CRV yang tiba-tiba menukar laluan dari lorong tengah.

Tindakan pemandu kereta yang mengubah haluan ke lorong paling kanan menyebabkan dua motosikal, termasuk milik mangsa dihimpit secara tiba-tiba hingga kedua-duanya terbabas sebelum merempuh penghadang jalan.

Pada masa sama, empat lagi motosikal berkuasa tinggi yang mengekori mereka gagal mengelak lalu merempuh mangsa yang terjatuh, katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya tujuh lagi motosikal berkuasa besar bagaimanapun sempat mengelak.
Polis sedang menjalankan siasatan terperinci, termasuk mendapatkan keterangan pemandu kereta berkenaan serta beberapa lagi rakan mangsa yang terselamat untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

Empat daripada peserta konvoi itu, termasuk Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, Asisten Superintendan Kamardin Yusof dan isterinya dilaporkan cedera ringan.

No comments:

Post a Comment