Search This Blog

Monday, November 5, 2012

Mati dikelar dalam teksi




ANGGOTA polis memeriksa sebuah teksi selepas menemui mayat pemandunya mati akibat dibunuh di Jalan Tun H. S. Lee, Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR – Seorang pekerja syarikat penyelenggaraan Alam Flora terkejut apabila menemui mayat seorang pemandu teksi dalam keadaan lehernya dikelar dan tangan kirinya mempunyai kesan terbakar di tempat duduk kenderaan tersebut di Jalan Tun H. S. Lee di sini kelmarin.
Mayat S. Nallan, 26, ditemui pada pukul 12.44 tengah malam oleh pekerja tersebut selepas pelik melihat teksi itu berasap sebelum menghubungi polis.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad berkata, ketika ditemui, polis mendapati mulut mangsa disumbat dengan kain manakala bajunya turut dibakar penjenayah hingga menyebabkan terkena tangan kirinya.
Katanya, siasatan lanjut menemui kesan kelar di leher, tikaman di dada dan belakang badan mangsa.
“Polis tidak menemui senjata dan dokumen pengenalan diri mangsa. Pemeriksaan mendapati dompet dan telefon bimbit miliknya tiada bersamanya.
“Teksi yang dipandu mangsa didaftarkan di sebuah syarikat di Ampang dan ketika ditemui mangsa berada dalam keadaan terbaring di tempat duduk pemandu yang direbahkan,” katanya yang memberitahu api dipadamkan oleh bomba beberapa minit kemudian.
Tambahnya, polis akan meneliti rakaman televisyen litar tertutup dari premis berdekatan dengan tempat kejadian untuk mengesan suspek.
Menurut Zainuddin, mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

No comments:

Post a Comment