Search This Blog

Monday, November 26, 2012

Mata mesin pencanai pecah belah jari

KUALA TERENGGANU: “Entah bagaimana mata mesin pencanai itu boleh pecah secara tiba-tiba,” kata Mohd Hafizuddin Yahya, 21, yang terlantar di hospital sejak lima hari lalu apabila tangan kirinya nyaris putus akibat terkena mata mesin pencanai yang pecah ketika menjalankan kerja pemasangan kabel elektrik bawah tanah di Kampung Bukit Payung, Marang.
Ketika ditemui di Wad Ortopedik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam, Mohd Hafizuddin berkata, dalam kejadian jam 4 petang Rabu lalu, dia memotong paip besi menggunakan mesin pencanai.

Namun malang katanya, mata mesin pencanai yang digunakan untuk memotong paip besi berkenaan berkecai dan membelah bahagian kulit ibu jari kirinya sehingga ke jari telunjuk.

“Darah banyak keluar dan saya bergegas meminta bantuan rakan untuk menghantar saya ke HSNZ bagi mendapatkan rawatan.

“Doktor mengenakan lebih 30 jahitan untuk menutup kesan terbelah pada tangan kiri itu,” katanya.

Pendawai elektrik itu berkata, kejadian berkenaan menyebabkan dia dimasukkan ke hospital bagi membolehkan jururawat memantau dan memberikan rawatan susulan kepadanya.


“Saya bersyukur kerana mata mesin pencanai hanya terkena pada tangan dan tidak terkena pada leher, kalau tidak saya tidak tahulah apa terjadi.

“Kejadian itu menyebabkan saya trauma menggunakan mesin pencanai lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment