Search This Blog

Friday, November 23, 2012

Mangsa tembak hubungi polis

JOHOR BAHRU: Seorang mangsa tembakan sempat menghubungi polis meminta bantuan sebelum pasukan polis bersama ambulans menemuinya dalam keadaan kritikal manakala teman lelakinya maut dalam kejadian di Jalan Permas 11/15, Taman Permas Jaya, di sini, semalam.

Mangsa, Surene Toh, 30, ditemui parah di badan dan kepala di sebuah bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat manakala teman lelakinya, Ang Keng, 40, yang juga tukang patung Buddha serta pengamal Feng-Shui ditemui maut dengan beberapa kesan tembakan di badan.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.15 petang daripada mangsa wanita itu yang mengatakan dia ditembak sebelum sepasukan polis dikejarkan ke lokasi.

Katanya, selain polis pihaknya menghubungi ambulans bagi memberikan rawatan kecemasan kepada mangsa.


“Sebaik tiba, kami menemui Surene di sebuah bilik tingkat atas dan pasukan perubatan menghantarnya ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan, manakala Ang ditemui maut dengan beberapa kesan tembakan di badannya di sebuah bilik di tingkat bawah.


“Surene kini dilaporkan stabil dan kami menyiasat kes ini mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Siasatan dilakukan mengikut pelbagai sudut dan kami akan mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam rumah itu serta menemubual jiran bagi membantu siasatan,” katanya.


Menurutnya, tiada kesan pecah masuk ditemui dan siasatan mendapati tiada barangan berharga hilang dari rumah mangsa.

Katanya, siasatan mendapati mangsa seorang pengamal perubatan tradisional dan teman wanitanya tidak bekerja.


“Kami percaya kejadian ini dilakukan lebih daripada seorang suspek dan berharap sesiapa mempunyai maklumat tampil membantu siasatan,” katanya.


Sementara itu, saksi enggan dikenali berkata, pasangan itu tinggal bersama sejak enam tahun lalu dan dia mengenali mereka kerana sering bertegur sapa.


Katanya, mendiang seorang pembuat patung Buddha menjadikan rumah berkenaan sebagai pejabat untuk menerima tempahan, manakala Surene tidak bekerja.


“Dalam kejadian semalam, kami tidak mendengar apa-apa bunyi atau melihat kejadian mencurigakan kecuali melihat pagar utama rumah mereka terbuka sejak jam 2 petang.


“Bagaimanapun, kira-kira tiga jam kemudian sepasukan polis datang memasuki rumah dan saya serta beberapa jiran lain meninjau apa yang berlaku.


“Ketika kami melangkah masuk dalam rumah itu, saya terkejut melihat Hong terbaring dalam sebuah bilik di tingkat bawah dengan kesan luka di kepala, manakala Surene ditemui parah dalam bilik berasingan di tingkat atas,” katanya ketika ditemui, semalam.

No comments:

Post a Comment