PUTRAJAYA - Seorang peniaga kain dan adik iparnya yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin akan menerima RM41,500 dan RM31,500 sebagai ganti rugi kerana penahanan secara salah.
Ini kerana Mohamad Zamri Ibrahim, 38, dan Mohd Suhaimi Yusoff, 33, berjaya dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan hari ini untuk mengembalikan semula keputusan Mahkamah Sesyen yang memutuskan mereka ditahan secara salah dan mahkamah telah memberi mereka ganti rugi.
Mereka memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas gagal mendapat ganti rugi itu di Mahkamah Tinggi pada 1 Dis 2010, yang membenarkan rayuan responden - pegawai penyiasat ASP Loh Pei Pei, ketua polis negara dan kerajaan - untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen itu.
Panel hakim tiga anggota diketuai Hakim Datuk Wahab Patail dalam keputusan sebulat suara membenarkan rayuan kedua-dua lelaki itu dan tidak mengeluarkan sebarang perintah untuk kos.
Wahab berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf yang sepatutnya memutuskan Mahkamah Sesyen sepatutnya membuat pindaan kepada pernyataan tuntutan untuk memasukkan nama dua pegawai yang menjalankan tangkapan, ASP Zulkarnain Samsudin dan Sarjan Jaffri Jaafar.
Ketika mengembalikan semula keputusan Mahkamah Sesyen, Wahab juga memerintahkan pernyataan tuntutan dipinda untuk memasukkan nama kedua-dua pegawai polis itu.
Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Datuk Clement Allan Skinner dan Datuk Aziah Ali.
Mahkamah Tinggi membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen selepas memutuskan kegagalan Zamri dan Suhaimi mengenal pasti anggota polis yang mencederakan mereka, menghalang kerajaan untuk bertanggungjawab.
Zamri dan Suhaimi, jurutera di sebuah kilang, memfailkan saman terhadap responden pada 19 Jun 2009, mendakwa penahanan mereka dibuat tanpa alasan yang wajar dan munasabah sehingga menyebabkan mereka mengalami kecederaan, tekanan, hinaan dan malu yang amat sangat.
Pada 20 Ogos 2007, Nurin, murid Tahun Dua, Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak dilaporkan hilang ketika keluar seorang diri ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.
Kes itu mendapat liputan meluas media apabila mayatnya dijumpai pada 17 Sept 2007, iaitu selepas 27 hari kehilangannya, di dalam beg yang ditinggalkan di hadapan sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya.
Hasil bedah siasat mendapati Nurin mati akibat didera secara seksual.
Zamri dan Suhaimi masing-masing menerima RM1,500 sebagai ganti rugi am, RM30,000 ganti rugi teladan dan kos. Zamri mendapat award tambahan RM10,000 sebagai ganti rugi penahanan secara salah.
Kedua-dua mereka diwakili peguam Azmer Md Saad dan Mohd Yaacob Bakanali.
Responden diwakili peguam kanan persekutusan Siti Badariah Yusof dan Azizan Md Arshad. - Bernama