Search This Blog

Monday, November 5, 2012

Lemas kolam air minuman

GEMAS: Seorang pelajar tingkatan tiga yang sedang menunggu keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tidak sempat mandi bersama dua rakan sebayanya, apabila tergelincir dan lemas di sebuah kolam takungan air minuman sedalam 10 meter di Ladang Nam Bee, Air Kuning Selatan, dekat sini, malam kelmarin.
Difahamkan mangsa, Sun Gua Lun, 15, bersama dua rakannya yang belajar di Sekolah Menengah Bukit Jalur, dekat sini, memang merancang untuk mandi-manda di kolam yang tidak berpagar itu dengan menceroboh ke ladang berkenaan.

Sebaik tiba di tepi kolam dan dalam hujan lebat, belum pun sempat menukar pakaian, mangsa dari Kampung Baru Cina Air Kuning Selatan itu tergelincir ke dalam kolam berkenaan dan terkapai-kapai menjerit meminta tolong, namun rakannya gagal membantu kerana mereka tidak tahu berenang.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5.55 petang dan sebaik mangsa tidak timbul, rakannya yang panik pulang ke rumah memberitahu ahli keluarga mereka.

Menurutnya, sebaik menerima laporan, sepasukan polis pergi ke lokasi dan menghubungi pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat dilakukan anggota polis, bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPM) diketuai Ketua Balai, Balai Polis Air Kuning Selatan, Sarjan Major Abdul Rashid Taib.


“Mayat mangsa ditemui dalam lumpur di dasar kolam itu pada jam 11.05 malam selepas pencarian hampir dua jam dengan dibantu 10 anggota Unit Skuba dari Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Port Dickson dan enam anggota bomba dari Gemas,” katanya.

“Mayatnya kemudian dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Sahidallah Osman meminta pengurusan ladang itu supaya memagar kawasan kolam seluas gelanggang bola keranjang serta meletakkan papan tanda larangan peringatan kepada orang ramai supaya tidak menceroboh.

No comments:

Post a Comment