Lelaki maut kereta dipandu bertembung lori
Lori yang terlibat dalam kemalangan ditarik untuk dokumentasi.
BATU PAHAT - Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 30, Jalan Batu Pahat-Ayer Hitam, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kejadian berlaku jam 9 pagi ketika kereta jenis Proton Wira dipandu Ahmad Ibrahim, 49, dari Ayer Hitam itu dipercayai hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori yang berada di laluan tersebut.

Menurutnya, akibat pertembungan itu, pemandu kereta tersebut cedera parah di dada dan maut di tempat kejadian.

“Pemandu lori yang hanya cedera ringan, dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) dekat sini, untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang hanya mahu dikenali sebagai Zainal 43, berkata, ketika kejadian dia menaiki motosikal dari rumahnya di Parit Raja menghala ke pekan Ayer Hitam sebelum melihat kemalangan tersebut.

“Bunyi dentuman kuat menyebabkan saya terperanjat sebelum menyedari terdapat satu kemalangan berlaku berhampiran saya.

“Saya memberhentikan motosikal di bahagian tepi jalan sebelum bergegas ke dua kenderaan itu bagi melihat keadaan mangsa, namun ketika itu pemandu kereta sudah tidak bergerak manakala pemandu lori masih bernyawa.

“Kerana takut dan bimbang sesuatu berlaku, saya tidak menyentuh mangsa. Saya hanya menunggu ambulans serta polis tiba bagi mengeluarkan mangsa,” katanya.