KLANG - Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan berdekatan sebuah taman permainan di Jalan Hulubalang 26, Taman Sentosa di sini, semalam.

Mayat T Sivanesan, 36, dijumpai terbaring dengan berpakaian lengkap oleh beberapa penduduk yang melalui lokasi kejadian kira-kira jam 10 pagi sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian dan menemui mayat lelaki tersebut dengan kesan tikaman di punggung dan kesan cedera di kepala.

Menurutnya, hasil semakan awal mendapati lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu mempunyai dua rekod jenayah lampau melibatkan kes curi kenderaan dan samun.

“Siasatan awal kita mengesyaki mangsa terlibat dalam pergaduhan membabitkan lebih daripada dua orang.

“Ketika kejadian berlaku, kita tidak menolak kemungkinan mangsa berada dalam keadaan mabuk,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, salah seorang daripada rakan mangsa yang terlibat dalam pergaduhan itu turut cedera parah di kepala dan dia kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini.

Mohamad berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui motif sebenar kejadian.

“Kini kita sedang mengenal pasti individu terlibat dalam kes itu sebelum gerakan memburu dijalankan.

“Malah, kita akan mengambil keterangan rakan mangsa bagi mengetahui kejadian sebenar,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurutnya, mayat mangsa telah dihantar ke HTAR untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.