Search This Blog

Saturday, November 3, 2012

Laman sosial sokong murtad kembali aktif

PUTRAJAYA: Tidak serik! Selepas lebih lapan bulan menyepikan diri, kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai penyokong murtad di Malaysia dan Singapura melalui laman sosial facebook (FB) dikesan kembali aktif sejak akhir bulan lalu.
Masih menggunakan nama sama iaitu ‘Murtads in Malaysia and Singapore’, kumpulan dipercayai ditubuhkan individu menggelarkan dirinya Zainab Abu Salama terbuka keahliannya kepada mereka yang murtad dari Islam termasuk sesiapa ingin menyumbangkan sokongan moral kepada mereka.

Berdasarkan pemerhatian, laman sosial itu didapati mula diaktifkan kembali pada 28 Oktober lalu dengan kebanyakan ‘posting’ dan komen dimuat naik pengendali terbabit berunsurkan penghinaan terhadap Nabi Muhammad dan Islam yang dikhuatiri mencetuskan kebimbangan umat Islam.

Ada komen terlalu melampau, antaranya seperti dipetik: “Tuhan saya adalah internet. Dia tidak beranak dan diperanakkan. Dia juga tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Nampaknya Tuhan internet berjaya melindungi saya dari bahaya dan sangat bermanfaat kepada saya. Tuhan internet lagi berkuasa.” Satu lagi ‘posting’ yang dianggap kurang ajar ialah penghinaan terhadap Nabi Muhammad.

Pengendali laman itu dilihat turut memperlekehkan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) kerana mendakwa tidak mengambil sebarang tindakan terhadap mereka.

Februari lalu, Harian Metro pernah melaporkan kewujudan kumpulan terbabit dan laman sosial berkenaan disekat pihak berkuasa serta digodam sebuah kumpulan penggodam bergelar ‘Dragon Force’ hingga ditutup.


Menurut maklumat di laman itu, objektif utama kumpulan terbabit ialah menjadikan sistem sokongan moral kepada mereka yang murtad dari Islam di Malaysia dan Singapura serta perbincangan terbuka kepada perkara berkaitan persoalan murtad di dua negara berkenaan, Islam dan juga perkara berkaitan Melayu.

Sehingga jam 6 petang semalam, seramai 129 individu didapati menyukai pautan dinding kumpulan itu yang mempunyai 18 ‘posting’ secara keseluruhan merangkumi gambar dan tulisan serta petikan ayat berbaur penghinaanterhadap agama Islam.

Bagi mereka yang memasuki laman berkenaan dan cuba berdakwah atau menentang perbuatan serta perbincangan yang dimuatnaik akan dihentam sewenang-wenangnya, sekali gus menjadikan ruang maya itu seolah-olah pentas perdebatan bebas tanpa batasan moral.

Malah, pengendali akaun FB terbabit turut menjadikan laman itu sebagai tempat perlindungan kepada golongan murtad di kedua-dua negara.

“Ini boleh menjadi tempat yang selamat, penuh dengan dorongan dan sokongan kepada apa jua pilihan dibuat oleh mereka yang murtad,” demikian antara petikan daripada laman sosial ‘Murtads in Malaysia and Singapore’ berkenaan.

Katanya, tanggungjawab pihaknya menerima golongan murtad sebagai pihak yang berhak membuat pilihan sendiri tanpa halangan mana-mana pihak, malah berhak untuk hidup dan bebas daripada hukuman syariah.

No comments:

Post a Comment