Search This Blog

Thursday, November 1, 2012

‘Kumpul duit nak kahwin’

GEORGETOWN: Seorang mekanik memberi alasan mahu mengumpul wang untuk berkahwin ketika dibawa ke rumahnya untuk pemeriksaan lanjut di sebuah pangsapuri di Jelutong dekat sini, selepas terbabit dengan kegiatan ragut, semalam.
Suspek yang berusia 29 tahun dan pernah menjadi anggota Rela memberi alasan demikian dalam usaha meraih simpati, namun gagal mempengaruhi anggota polis sebelum dibawa ke mahkamah untuk direman, malah ketika dibawa keluar dari rumahnya, ibu suspek hanya mampu menangis kerana tidak menyangka anaknya terbabit dengan kegiatan jenayah.

Dalam pemeriksaan jam 8 pagi itu, polis menemui sejumlah wang dipercayai hasil kegiatan ragut yang disimpan dalam almari di rumah berkenaan.

Sebelum itu, suspek ditahan selepas meragut seorang kerani wanita di parkir sebuah kawasan perumahan di Jelutong.

Dalam kejadian itu, mangsa yang bekerja di sebuah kilang terpaksa menerima beberapa jahitan di kepala selain cedera di tangan dan pinggang dan kini menerima rawatan lanjut di sebuah hospital swasta.

Yeoh Swee Chin, 28, ketika kejadian baru membuka pintu keretanya sebelum didatangi suspek yang merentap beg tangannya menyebabkan mangsa jatuh dan terseret.


Bagaimanapun, sepasukan polis yang kebetulan melakukan rondaan terserempak dengan suspek lalu mengejarnya 10 kilometer sebelum motosikal ditunggangi suspek bertembung dengan motosikal anggota polis.

Akibatnya, suspek terjatuh dan gagal melarikan diri sebelum anggota polis menahannya dan hasil pemeriksaan menemui beg tangan milik mangsa ragut sebelum itu.

Suspek dibawa ke balai polis dan hasil siasatan awal mengaku melakukan lapan kes ragut sekitar daerah Timur Laut termasuk kejadian membabitkan saudara kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, beberapa hari lalu.

Lelaki itu membawa polis ke rumahnya dan pemerik saan lanjut menemui 12 keping duit AS$100 dan dianggarkan bernilai RM4,000 yang disimpan dalam almari di biliknya.

Selain wang tunai, polis menemui pedang, dua kalung emas, pelbagai dompet dan barang dipercayai hasil kegiatan ragut dianggarkan RM50,000.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, siasatan awal mendapati suspek melakukan kegiatan ragut itu sejak awal Oktober lalu.

“Suspek yang masih bujang mengaku bergerak bersendirian dan menggunakan motosikal sepupunya.

“Dengan tertangkapnya suspek, polis percaya dapat menyelesaikan lapan kes ragut dilakukan lelaki terbabit,” katanya.

No comments:

Post a Comment