Mak Yam
Kereta terbabit remuk di bahagian hadapan selepas melanggar pasu bunga di tengah pembahagi jalan, kelmarin.
KOTA BHARU- Sebuah kereta jenis Proton Saga remuk di bahagian hadapan, selepas melanggar pasu bunga di tengah pembahagi jalan di Jalan Kuala Krai- Kota Bharu, di sini, pagi kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 11 pagi itu berlaku ketika pemandu kenderaan terbabit bersama seorang anaknya, dipercayai menuju ke Hospital Pakar Perdana untuk membuat pemeriksaan kesihatan.
Saksi kejadian, Mak Yam, 60, berkata ketika itu, dia berada di dalam rumah yang terletak hanya kira-kira 50 meter dari kawasan kejadian dan terdengar bunyi rempuhan yang kuat lalu terus keluar dari rumah menyaksikan kejadian itu.
“Terkejut apabila melihat pasu bunga berada betul-betul di atas cermin kereta itu, saya juga nampak seorang lelaki duduk di bahagian pemandu berusia dalam lingkungan 50-an bersama anaknya yang berada di tempat duduk belakang dalam kereta itu
“Mujurlah anaknya duduk di bahagian belakang, jika tidak mungkin dia mengalami kecederaan parah akibat rempuhan itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dipercayai pemandu yang berasal dari Rantau Panjang itu mengantuk sehingga menyebabkan dia gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas di tengah pembahagian jalan serta merempuh pasu bunga itu.
Mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan, kemudiannya dibawa menaiki ambulans ke hospital untuk menerima rawatan susulan.