Search This Blog

Thursday, November 8, 2012

Kereta curi terbabas



         
KUANTAN: Dua kereta peronda polis mengejar sebuah Proton Iswara Aeroback dinaiki dua penjenayah sejauh 45 kilometer sebelum insiden berkenaan berakhir apabila kenderaan yang dilaporkan hilang sebulan lalu itu terbabas ketika memasuki simpang di Tanjung Lumpur pada jam 8.30 malam, kelmarin.

Kejadian itu bermula di sebuah stesen minyak di Jalan Gambang apabila kereta peronda berkenaan mengesan kenderaan terbabit dalam keadaan mencurigakan.


Difahamkan, apabila diminta berhenti, kenderaan dinaiki dua lelaki berusia lingkungan 20 tahun itu terus memecut menuju pusat bandar.

Dalam usaha memboloskan diri, mereka memasuki Jalan Mahkota, Jalan Teluk Sisek dan Jalan Tun Ismail dengan melanggar beberapa lampu isyarat serta melalui depan kompleks beli-belah East Coast Mall (ECM) sebelum kereta berkenaan dipecut menuju ke pusat beli-belah Berjaya Megamall.


Dalam keadaan jalan sesak dan dikejar pihak berkuasa, kereta curi berkenaan sempat dipandu mengelilingi Berjaya Megamall sebanyak dua kali sebelum menghala ke Tanjung Lumpur.


Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, usaha penjenayah terbabit memboloskan diri dengan kenderaan curi itu terbantut selepas kereta berkenaan terbabas.

“Ketika hendak memasuki simpang ke sebuah perkampungan nelayan di situ, kereta yang dinaiki suspek gagal dikawal akibat dipandu laju mengakibatkannya terbabas melanggar pembahagi jalan.


“Dalam keadaan kelam-kabut, dua suspek terbabit sempat melarikan diri ke kawasan semak berhampiran. Usaha anggota polis mengejar mereka bagaimanapun menemui jalan buntu kerana keadaan kawasan berkenaan yang gelap,” katanya, semalam.

Mohd Jasmani berkata, selepas pemeriksaan dilakukan, pihaknya mendapati kereta berkenaan dilaporkan hilang kira-kira sebulan lalu di kawasan parkir sebuah kompleks membeli-belah di bandar ini.


Sementara itu, pemilik kereta Proton Iswara Aeroback berkenaan, Sufian Said, 35, dari Permatang Badak, berkata dia mendapat tahu kereta miliknya yang hilang itu berada di bandar ini selepas dimaklumkan seorang rakan yang terlihat kereta terbabit di stesen minyak.

No comments:

Post a Comment