Mangsa tidak dimaklumkan ibu dan bapa serta dua abang maut
Bapa saudara, Roshidi Awang Kechik, 47, melihat kecederaan yang dialami Mohd Iqbal.
Mangsa tidak dimaklumkan ibu dan bapa serta dua abang maut
Jenazah empat beranak disolatkan di Masjid Kubang Pisang.
ALOR SETAR - Mangsa yang cedera parah dalam nahas yang meragut nyawa ibu dan bapa serta dua abangnya di Jalan Tualang, Pokok Sena kelmarin, sudah sedarkan diri namun perlu menjalani pembedahan kecil di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Bapa saudara mangsa, Shahron Awang Kechik, 50, berkata, Mohd Iqbal Zakuan Shafie, 15, mula sedar kira-kira jam 9.30 malam kelmarin dan dipindahkan dari zon kritikal ke wad biasa awal pagi semalam.

Menurutnya, Iqbal mengalami kecederaan di bahagian muka termasuk bengkak pada gusi serta patah tulang paha kanan.

“Dia boleh bercakap dan bertanya keadaan kedua orang tua serta adik beradik lain kepada abangnya. Namun buat sementara waktu kami terpaksa merahsiakan pemergian mereka untuk mengelakkan kesihatannya terganggu.

“Iqbal juga sudah boleh minum serta makan bubur nasi tetapi perlu menjalani pembedahan kecil untuk membetulkan tulang paha yang patah,” katanya kepada media ketika ditemui di HSB semalam.

Pengarah HSB, Datuk Dr Juita Ghazalie berkata, keadaan mangsa stabil dan menunggu giliran untuk pembedahan.

Dalam perkembangan sama, Shahron berkata, empat beranak yang meninggal dunia, Shafie Abd Hamid, 57, dan isteri, Faridah Ani, 60, serta dua anak mereka, Mohd Ibtihal, 26, dan Nurul Faiz, 24, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kubang Pisang, Jalan Kubur Panjang, Pendang sekitar jam 2.30 pagi semalam.

Lori dipandu remaja berusia 19 tahun

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Rohana Omar berkata, pemandu lori yang terlibat dalam kemalangan berkenaan ditahan sehingga 5 November ini untuk membantu siasatan.

Menurutnya, remaja lelaki berusia 19 tahun itu berasal dari Kubur Panjang, Pendang dan tidak pernah memiliki sebarang rekod jenayah sebelum ini.

“Dia ditahan sewaktu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar. Manakala lori dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan lanjut berhubung keadaannya semasa kejadian.

“Punca kemalangan dipercayai berlaku apabila lori terbabit masuk ke laluan kereta yang dinaiki lima sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu sehingga menyebabkan kematian.

Menurut sumber Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), had umur mendapatkan lesen memandu kenderaan ialah 17 tahun manakala syarat umur bagi permohonan Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) ialah 21 ke atas serta perlu memiliki lesen memandu.

Beliau berkata, pemandu yang memandu kenderaan barangan tanpa memiliki kedua-dua lesen berkenaan boleh disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sinar Harian semalam melaporkan, niat lima sekeluarga melawat penduduk kampung di HSB tidak kesampaian apabila maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori padi tanpa muatan berdekatan Kampung Permatang Limau Jalan Tualang Pokok Sena, di sini.