Search This Blog

Friday, November 9, 2012

Kedai motosikal terbakar, peniaga rugi RM80,000


Zainuddin Mohd Nordin
Beberapa barangan yang rosak akibat kesan kebakaran diletakkan di luar kedai untuk dibersihkan.
ALOR PONGSU - Seorang peniaga kedai alat ganti motosikal kerugian RM80,000 setelah kedainya di Jalan Siakap, di sini hampir 40 peratus terbakar, kelmarin.
Kejadian kebakaran kira-kira jam 4 pagi itu turut memusnahkan enam motosikal jenis Honda yang dipercayai dihantar ke kedai berkenaan untuk tujuan baik pulih.
Pegawai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Zainuddin Mohd Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan kebakaran pada jam 4.10 pagi dan tiba di tempat kejadian kira-kira 15 minit kemudian.
“Sebanyak satu jentera bomba terdiri daripada sembilan anggota bergegas ke lokasi kebakaran. Setibanya di tempat kejadian, api dilihat semakin marak dan mujurlah keadaan api dapat dikawal selain tidak merebak ke kedai-kedai bersebelahan dalam tempoh setengah jam.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.
Sementara itu, pemilik kedai yang hanya dikenali Puan Liow berkata, semasa kejadian, tiada orang berada di dalam kedai memandangkan dia sekeluarga tinggal di rumah berdekatan kedai berkenaan.
Menurutnya, sejurus mengetahui kedainya terbakar lebih kurang jam 4.10 pagi, dia sekeluarga terus ke kedai untuk cuba menyelamatkan seberapa banyak barangan di dalamnya.
“Kami hanya mampu masuk dari pintu belakang kedai dan sempat menyelamatkan beberapa dokumen dan barangan bernilai sebelum diarahkan anggota bomba supaya beredar kerana api semakin marak.
“Mujurlah kebakaran tidak merebak ke kedai-kedai lain, hanya 40 peratus daripada keseluruhan kedai yang terbakar dan kerugian mungkin sekitar RM80,000. Beberapa motosikal lain turut berjaya diselamatkan.
“Selain tujuh motosikal yang turut terbakar, barangan lain yang musnah adalah peralatan ganti motosikal, kelengkapan dan tayar motosikal,” katanya.

No comments:

Post a Comment