Kebakaran: Peniaga runcit rugi RM30,000
Anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran, semalam
IPOH – Seorang peniaga hanya mampu berserah apabila melihat perniagaan kedai runcitnya musnah dalam satu kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Kepayang di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 petang itu, wang hasil perniagaan berjumlah RM800 turut hangus bersama beberapa peralatan lain setelah kediamannya terbakar.
Mangsa, Janihah Muhamad, 72, yang mengusahakan kedai runcit sebagai pendapatan keluarga hanya dapat menyelamatkan duit syiling berjumlah RM800 yang disimpan di biliknya.
“Kami dapat menemui semula karung duit syiling yang disimpan hasil perniagaan kecil ini. Namun, hanya sebahagian duit RM1 dan RM5 terbakar.
“Saya bersama anak dan menantu berada dalam rumah. Pada mulanya, anak menyimbah air untuk padamkan api itu namun, api cepat merebak sehingga tidak boleh selamatkan apa-apa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, semalam.
Janihah berkata, kebakaran tersebut menyebabkan keluarganya kerugian lebih RM30,000. “Kami menumpang di rumah saudara berhampiran. Saya bersyukur apabila kami sekeluarga tidak mengalami apa-apa kecederaan dalam kejadian ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd Khamis Harun berkata, rumah separa kekal berkenaan telah 90 peratus terbakar ketika tiba di tempat kejadian.
“Dua jentera dengan 11 anggota dari Balai Bomba Ipoh dikejarkan ke lokasi kejadian setelah menerima panggilan pada jam 3.37 petang dan kami berjaya mengawal kebakaran kira-kira 20 minit kemudian.
“Berdasarkan maklumat mangsa, kebakaran bermula dari peralatan elektrik namun, punca kejadian sebenar masih dalam siasatan,” katanya.